MALAYSIA
PTPK nafi dakwaan henti pembiayaan pinjaman pelajaran, elaun sara hidup

Setakat Ogos lepas, PTPK itu meluluskan pinjaman dan mempunyai komitmen pembiayaan aktif berjumlah RM524 juta melibatkan 52,098 pelajar dan 306 pusat latihan.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menafikan dakwaan satu gabungan pusat latihan swasta bahawa perbadanan itu telah beberapa kali menghentikan pembiayaan pinjaman pelajaran dan elaun sara hidup bulanan.
Menurut kenyataan hari ini, PTPK memaklumkan setakat Ogos lepas, perbadanan itu meluluskan pinjaman dan mempunyai komitmen pembiayaan aktif berjumlah RM524 juta melibatkan 52,098 pelajar dan 306 pusat latihan.
PTPK menjelaskan pada tahun ini sahaja, sebanyak 21,947 pelajar diluluskan pinjaman mereka.
"Semua pelajar yang telah diluluskan pinjaman masih terus menerima pembiayaan dan elaun sara hidup seperti biasa. Malah, elaun sara hidup kini dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 bagi setiap pelajar."Sehubungan dengan itu, dakwaan yang dibangkitkan oleh pihak berkenaan adalah tidak berasas sama sekali. Hal ini demikian kerana pada hakikatnya, tiada seorang pun pelajar yang sudah diluluskan pinjaman diberhentikan pembiayaan mereka," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut PTPK sentiasa beriltizam untuk memastikan anak muda Malaysia mendapat akses kepada latihan kemahiran yang relevan dan perkara ini dibuktikan dengan kelulusan pinjaman sebanyak RM4.76 bilion melibatkan 306,600 peminjam sejak penubuhan PTPK pada 2001.
PTPK memaklumkan pada masa akan datang, pengagihan dana akan dipandu beberapa penekanan utama termasuk keutamaan kepada program berimpak tinggi, rekod prestasi bayaran balik pinjaman, pematuhan terhadap syarat permohonan (termasuk rayuan) dan penempatan pekerjaan selepas tamat latihan.
"Dengan pendekatan baharu berasaskan performance-based budgeting dan prinsip value for money, PTPK yakin keberkesanan dan kelangsungan dana akan terus terjamin sekali gus memastikan pelajar mengikuti kursus lebih berkualiti, memperoleh kelayakan lebih baik dan mempunyai masa depan lebih terjamin," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami