Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyenaraikan peminjam ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mulai Januari 2015 sebagai satu langkah untuk menggalakkan pembayaran balik.

Pada peringkat permulaan, ia melibatkan seramai 173,985 peminjam yang tidak pernah membuat sebarang bayaran melebihi tiga tahun dari tarikh mereka patut membuat bayaran balik mulai tahun 2010 dan sebelumnya.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berharap peminjam akan mengambil langkah proaktif untuk membuat bayaran balik dan mengelakkan rekod bayaran tertunggak terkandung di dalam laporan kredit CCRIS.

“Mereka ada masa dua bulan untuk berunding bersama PTPTN. Mereka boleh membuat perstrukturan semula jika mereka tidak mampu untuk membayar balik. PTPTN akan memberikan bantuan jadi kami harap mereka akan datang.

“Namun saya tahu ada yang mempunyai pendapatan yang boleh membuat bayaran balik, ada juga yang boleh membuat bayaran balik secara penuh,” kata beliau dalam satu sidang media bagi menjelaskan penurunan jumlah pembiayaan dan juga pelaksanaan penyenaraian peminjam PTPTN dalam CCRIS.

Shamsul turut menjelaskan bahawa CCRIS bukanlah sistem yang menyenarai hitam peminjam seperti tanggapan sesetengah pihak.

“Ia adalah satu langkah untuk mengumpul maklumat kewangan peminjam. Ia adalah amalan biasa yang digunakan oleh institusi kewangan yang lain dan data tersebut akan menjadi rujukan dan penilaian untuk mereka.

Sebelum ini PTPTN turut mengumumkan jumlah pembiayaan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dikurangkan lima peratus dan 15 peratus untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mulai 1 November.

“Saya faham ia akan menjejaskan orang ramai dengan kenaikan kos sara hidup. Itulah kesan apabila penerima pinjaman PTPTN tidak membuat bayaran balik. Saya tahu ia langkah yang tidak popular,” kata Shamsul pada sidang media yang sama.

Beliau turut berkata sekiranya lebih ramai peminjam membuat bayaran balik ia sekaligus kembali mengukuhkan kedudukan kewangan PTPTN dan pihak mereka dapat memberikan pembiayaan penuh seperti sebelum ini.

Sehingga 30 September 2014, PTPTN telah meluluskan pinjaman pendidikan kepada 2.1 juta peminjam dengan amaun keseluruhan berjumlah RM48.36 bilion. Sehingga 30 September 2014, seramai 558,475 peminjam tidak pernah membuat bayaran balik yang melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM4.3 bilion.