IPOH: Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak (Puhaz) mengesahkan mereka tidak terlibat dalam mengendalikan urusan umrah seorang seorang wanita yang didakwa mengerjakan ibadah itu dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki di Tanah Suci Mekah yang tular baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Abdul Jabbar Abdul Kahar berkata, hasil maklumat awal yang diperoleh, tiada mana-mana antara 35 syarikat pelancongan dan umrah di bawah persatuan itu terlibat urusan wanita yang didakwa beralamat di Bota dekat Parit itu.

“Hasil maklumat yang kami peroleh mendapati individu berkenaan ke sana bukan melalui mana-mana agensi yang terlibat dengan urusan umrah.

“Kami dimaklumkan, sebaliknya dia pergi dengan rakan-rakannya secara berkumpulan dengan urusan melancong dan seterusnya masuk ke Mekah,” katanya dalam sidang media di Meru Raya, dekat, sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berkenaan satu ciapan dan rakaman video pendek di Twitter yang tular baru-baru ini dengan memaparkan seorang wanita dipercayai melakukan umrah dengan mengenakan ihram seperti lelaki.

Dalam pada itu, Abdul Jabbar berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia boleh menjejaskan nama baik agensi pelancongan dan umrah.

Katanya, Puhaz juga tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan jemaah umrah kendalian mereka melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama lebih-lebih lagi ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Sementara itu, Presiden Puhaz, Mohd Ali Sabri Abd Rahman berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan tegas yang akan diambil kepada individu berkenaan oleh pihak berkuasa.

Katanya, ini adalah kerana perbuatan itu jelas disifatkan sebagai satu penghinaan kepada agama selain berharap ia tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Dari sudut hukum umrah itu tidak sah kerana seorang perempuan telah berpakaian lelaki lalu mendedahkan auratnya ketika melakukan ibadat

“Apatah lagi jika perkara itu dilakukan pula di Tanah Suci. Secara jelas dia telah melakukan sesuatu yang menghina agama,” katanya lagi.

Minggu lalu tular di Twitter beberapa hantaran berkenaan seorang wanita berkenaan susulan videonya berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.

Dalam satu hantaran video pendek menunjukkan wanita terbabit menuju ke Raudah.

Susulan itu, seorang pengguna Twitter berkongsi hantaran terbabit mendakwa individu berkenaan adalah wanita yang juga bekas pekerjanya.
Perkara itu mendapat perhatian banyak pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Idris dilaporkan meminta bantuan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyiasat bagi memastikan kesahihan isu yang sedang tular di media sosial itu, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.