KOTA BHARU: Empat pengamal perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, terhadap dakwaan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang lelaki, awal bulan ini.

Mohd Shamsul Izwan Midin, 33, Idrees Ishak, 42, Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 33, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 35, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Tertuduh yang juga peniaga didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ahmad Shahrill 'Ariff Zainol, 39, di sebuah inap desa di Kampung Huda, Kota Bharu jam 4 pagi pada 5 Ogos lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahril Ramli manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Azrul Hasyimi Mohammad yang memohon jaminan minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan empat lelaki itu diberi jaminan sebanyak RM3,000 setiap orang dan masing-masing dengan seorang penjamin serta 4 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Laporan Polis | Bomoh dipukul didakwa beri rawatan salah

Sebelum ini dilaporkan, Polis Kelantan telah menerima satu laporan membabitkan seorang bomoh berusia 39 tahun yang mendakwa dipukul sekumpulan lelaki berkaitan isu 'sihir 7 keturunan' dan santau yang tular di media sosial awal bulan ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, kes berpunca daripada perselisihan faham antara sekumpulan lelaki dengan mangsa iaitu seorang pengamal ilmu perubatan tradisional yang berasal dari Kangar, Perlis dan datang ke Kelantan bagi membincangkan urusan rawatan tradisional.