BESUT: Kerajaan negeri Terengganu tidak mengeluarkan arahan penutupan pulau peranginan sepanjang musim tengkujuh bagi membolehkan sektor pelancongan kembali 'bernafas' selepas terbelenggu akibat pandemik COVID-19.

Ia turut mengambil kira tempoh penggiat industri berkenaan yang hanya mula beroperasi kira kira empat bulan lalu.

Bagaimanapun, keadaan cuaca tidak menentu serta laut yang bergelora meletakkan mereka yang terbabit dalam industri pelancongan berada dalam dilema.

"Pemandu bot akan pergi mengikut keadaan cuaca. Kebanyakan mereka mempunyai kemahiran mengemudi bot semasa musim tengkujuh ini.

"Namun kalau ketika keadaan ombak besar atau gelombang dia, mereka tidak akan pergi membawa pelancong," kata pemandu bot pelancong, Abdul Aziz Ahmad.

Bagi pembantu pemandu bot, Azman Ya, keselamatan penumpang adalah keutamaan.

"Pemandu bot ini memang ada kemahiran mengemudi dalam keadaan ombak bergelora namun dia harus pastikan pelancong selamat pergi dan balik," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan sistem cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak dijangka bergerak ke arah barat menghampiri kawasan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang sekitar 15 Disember 2021.

Keadaan angin kencang dijangka mengakibatkan beberapa kawasan di Terengganu berdepan risiko limpahan air laut dan hujan sehingga 16 Disember.