RAMALLAH: Persatuan Banduan Palestin berkata lebih 23,000 rakyat Palestin ditahan oleh tentera pendudukan Israel di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis, sejak bermulanya serangan Israel di Gaza pada Oktober 2023, menurut laporan Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Dalam laporan yang dikeluarkan pada Ahad, persatuan itu menyatakan angka itu merangkumi semua individu yang pernah ditahan, sama ada masih dalam tahanan atau dibebaskan kemudiannya.
Advertisement
Ini termasuk mereka yang ditahan dari rumah, di sekatan ketenteraan, mereka yang menyerah diri di bawah tekanan atau yang diambil sebagai tebusan.
Menurut laporan itu, penahanan wanita melebihi 700 kes, termasuk wanita Palestin yang ditahan dari Israel dan Gaza serta di Tebing Barat. Penahanan kanak-kanak pula mencecah sekitar 1,800 kes.
Laporan itu turut menyatakan lebih 240 wartawan ditahan sejak perang bermula, dengan 43 masih dalam tahanan, termasuk tiga wartawan wanita. Seorang wartawan, Marwan Harzallah dari Nablus, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan Israel.
Persatuan Banduan berkata kempen penahanan yang berterusan turut disertai pelanggaran hak asasi yang semakin meningkat, termasuk pukulan teruk, ugutan terhadap tahanan dan keluarga mereka, pemusnahan serta vandalisme rumah secara meluas, rampasan kenderaan, wang dan barang kemas emas, serta kerosakan besar terhadap infrastruktur khususnya di kem pelarian Tulkarm dan Jenin.
Penahanan itu juga disertai hukuman mati di lapangan dalam beberapa kes, termasuk ahli keluarga tahanan, serta soal siasat lapangan yang melibatkan ribuan orang di pelbagai wilayah di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
-- BERNAMA-WAFA