GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan menerima 62,000 dos vaksin dalam masa terdekat selepas menerima 16,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech pada Ahad lepas.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, lima kotak penghantaran yang akan diterima kelak adalah tambahan dos kedua kepada 31,000 penerima fasa pertama yang perlu disuntik dalam tempoh 21 hari.

Beliau berharap program suntikan vaksin fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan di Pulau Pinang itu berjalan lancar dalam tempoh tiga bulan ini.

"Fasa pertama untuk 62,000 dos kesemuanya... sebab kita ada 31,000 frontliners (petugas barisan hadapan) tapi yang terima dos kedua pada 21 hari kemudiannya, akan kembali untuk ambil dos kedua," ujar beliau.

Kon Yeow berkata demikian selepas menerima suntikan pertama vaksin serta simbolik pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri Pulau Pinang d HPP pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Asmayani berkata, seramai 318 petugas barisan hadapan di negeri itu sudah menerima suntikan vaksin itu minggu lalu termasuk 54 pemvaksin.

Jelasnya, fasa pertama pemberian vaksin itu memberi tumpuan kepada petugas barisan hadapan terdiri daripada kumpulan perubatan dan bukan perubatan dalam memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan lancar.

Pada Ahad minggu lepas, sebanyak 16,000 dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Vaksin tersebut disimpan di dua pusat simpanan vaksin (PSV) di negeri itu terlebih dahulu sebelum proses vaksin dibuat di 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan di negeri itu.