MALAYSIA
Pulau Pinang kaji semula diskaun hartanah India Muslim, pertimbang luaskan kepada semua

Chow Kon Yeow berkata, sebahagian pandangan yang diterima menyatakan bahawa diskaun berkenaan sepatutnya turut ditawarkan kepada semua pembeli.
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima pelbagai maklum balas berhubung pengumuman langkah intervensi pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi tujuan pembelian unit hartanah siap yang tidak terjual.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima pelbagai maklum balas selepas mengumumkan diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit hartanah tidak terjual, dan kini sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan diskaun tersebut kepada semua pembeli.
- Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengarahkan Exco Perumahan memperhalusi dasar itu agar lebih inklusif dan selaras dengan prinsip keadilan sosial, dengan keputusan akhir akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri.
- DAP Pulau Pinang turut meminta semakan semula dasar tersebut, menegaskan pentingnya keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, serta memastikan hak pemilikan rumah dipelihara secara saksama.
“Selaras itu, saya telah mengarahkan Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S. Sundarajoo untuk memperhalusi polisi berkenaan bersama pihak pemaju, bagi memperluaskan pemberian diskaun kepada semua pembeli supaya ia lebih inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat selaras dengan prinsip keadilan sosial.
“Dalam pada itu juga, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri akan meneliti perkara ini dan membuat keputusan yang sewajarnya demi kebaikan semua pihak,” katanya menerusi kenyataan di sini, pada Ahad.
Pada Khamis lalu, Sundarajoo mengumumkan pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit kediaman dan komersial, menerusi Dasar Pemangkin Momentum Sektor Hartanah dan Pemilikan Rumah Inklusif Madani (MOC).
Perkara itu merupakan antara beberapa insentif dalam dasar berkenaan yang berkuat kuasa dari 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026, selain memperkenalkan kategori khas Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis D dengan harga siling maksimum RM400,000 serta pengurangan kadar sumbangan bagi pemaju yang tidak menyediakan unit RMKu Jenis A atau B secara fizikal.
Sundarajoo berkata, inisiatif diskaun lima peratus tersebut hanyalah tambahan kepada pelbagai program sedia ada yang telah dirangka bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat negeri ini.
Bagaimanapun, DAP Pulau Pinang meminta agar kerajaan negeri menyemak semula pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit hartanah tidak terjual di negeri ini.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri berhubung isu berkenaan susulan maklum balas orang awam.
"Sebagai sebuah parti yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, DAP sentiasa memperjuangkan keadilan dan kebajikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Adalah penting untuk kerajaan negeri terus menjunjung prinsip keadilan sosial dan memastikan hak setiap rakyat Malaysia untuk memiliki rumah dipelihara,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami