Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri terutama exco yang bertanggungjawab sedang mengadakan libat urus dengan pihak-pihak berkaitan bagi mendengar keberkesanan program berkenaan.
"Kajian dan semakan semula Program i-Sejahtera adalah dengan tujuan untuk menambah baik program itu memandangkan peruntukan yang diperlukan semakin meningkat setiap tahun kerana bilangan penerima juga meningkat.
"Jadi kita akan melihat sama ada apa-apa program yang ada penindihan dengan program kerajaan Persekutuan seperti dahulu kita pun hentikan Program Pelajar Emas sebab pusat pun sudah ada program yang sama tetapi (untuk Program i-Sejahtera) belum ada apa-apa keputusan sebab masih dalam proses mengkaji semula," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Perdagangan Emas dan Barang Kemas Malaysia 2025 (MGJE 2025) di Arena SPICE dekat sini pada Jumaat, yang turut dihadiri Pengerusi Persekutuan Persatuan Tukang Emas dan Barang Kemas Malaysia (FGJAM) Datuk Chiah Hock Yew.
Chow berkata pihaknya akan mendengar maklum balas terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan sama ada Program i-Sejahtera itu dikurangkan atau sebaliknya.
Program i-Sejahtera merupakan penghargaan dan keprihatinan kerajaan negeri yang disumbangkan dalam bentuk kewangan secara setahun sekali kepada rakyat Pulau Pinang iaitu warga emas, OKU, ibu tunggal, suri rumah dan bayi.
Sementara itu, pameran pada Jumaat merupakan anjuran bersama Persatuan Pedagang Hiasan Emas dan Perak Provinsi Wellesley dan Persatuan Emas Malaysia dengan sokongan Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) Pulau Pinang menerusi Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB).
Acara itu mengetengahkan ketukangan emas Malaysia dan kemajuan terkini dalam reka bentuk barang kemas selain pameran koleksi barang kemas, teknologi mekanikal termaju dengan lebih 20 mesin daripada China dan syarikat pembungkusan yang menawarkan sampel produk.
-- BERNAMA
