Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang kini lebih matang urus Tapak Warisan Dunia George Town - Chow

GEORGE TOWN, 1 Jun -- Orang ramai mengunjungi tempat tumpuan pelancong di Lebuh Armenian atau lebih dikenali dengan Street Art bersama keluarga serta rakan-rakan sempena cuti umum Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.  Tinjauan mendapati pelancong domestik menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi untuk dilawati pada musim percutian kerana pelbagai tempat-tempat menarik terdapat di negeri ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Chow Kon Yeow berkata sokongan terhadap usaha pemuliharaan itu turut melangkaui kawasan George Town menerusi penglibatan komuniti dari kawasan lain termasuk Balik Pulau dan Seberang Perai. - Gambar fail/Bernama

GEORGE TOWN: Selepas hampir dua dekad diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Pulau Pinang kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh dalam mengurus dan memelihara George Town hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak pengiktirafan itu pada 7 Julai 2008.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perjalanan sepanjang 18 tahun itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana kerajaan negeri berdepan pelbagai cabaran, khususnya dalam tempoh lima tahun pertama selepas George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha berterusan menerusi pelaksanaan peruntukan undang-undang, kawalan perancangan pembangunan serta kerjasama pelbagai pihak berkepentingan berjaya meletakkan pengurusan tapak warisan itu pada tahap yang lebih matang.

“Hari ini, kita semakin yakin sebagai pengurus sebuah tapak warisan dunia kerana kita telah mempunyai peruntukan undang-undang yang berkaitan, Pelan Kawasan Khas yang khusus serta sebuah agensi yang bertindak sebagai pengurus tapak ini, iaitu George Town World Heritage Incorporated (GTWHI),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Perayaan Warisan George Town 2026 (GTHC 2026) sempena sambutan Hari Pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di sini hari ini.

Chow berkata usaha memelihara tapak warisan itu turut digerakkan menerusi kerjasama GTWHI, Pesuruhjaya Warisan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), selain mendapat sokongan penduduk, penghuni serta pertubuhan yang berada dalam kawasan tapak warisan berkenaan.

Beliau berkata sokongan terhadap usaha pemuliharaan itu turut melangkaui kawasan George Town menerusi penglibatan komuniti dari kawasan lain termasuk Balik Pulau dan Seberang Perai, selain menerima pelbagai bentuk bantuan daripada Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh pengurusan tapak warisan tersebut.

Katanya antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah Projek Adaptasi Perubahan Iklim yang dibiayai menerusi dana Bank Dunia bagi meningkatkan daya tahan kawasan tapak warisan dunia itu terhadap cabaran perubahan iklim.

Mengulas ulang tahun ke-18 pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO tahun ini, Chow menyifatkannya sebagai satu tahap kematangan baharu dalam pengurusan kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Besar GTWHI Dr Ang Ming Chee berkata sambutan GTHC 2026 yang bertemakan “Kongsi Cerita!” akan berlangsung dari 4 hingga 7 Julai ini dengan mengetengahkan pelbagai mitos, legenda, cerita rakyat dan hikayat yang mencerminkan kepelbagaian warisan budaya George Town.

Beliau berkata Festival Jalanan akan menjadi program utama sambutan itu, selain Historic Building Open House dan George Town Heritage City Walk.

“Sepanjang empat hari penganjuran, seramai 48 rakan komuniti akan berkongsi cerita dan tradisi budaya masing-masing menerusi pelbagai aktiviti, termasuk 33 bengkel budaya, lapan persembahan tarian interaktif serta 12 lawatan ke bangunan bersejarah yang mengambil bahagian,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement