GEORGE TOWN: Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyokong sepenuhnya tindakan kerajaan Kedah untuk mendapatkan pampasan daripada kerajaan pusat bagi melindungi dan memulihara Ulu Muda.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa berkata, Kedah wajar memperoleh pampasan berikutan Ulu Muda berfungsi sebagai kawasan tadahan air untuk tiga negeri -- Perlis, Kedah dan Pulau Pinang di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Beliau berkata rasional untuk Kedah mendapatkan pampasan kerajaan pusat berdasarkan antara lain Perlis, Kedah dan Pulau menyumbang sejumlah RM147.8 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan cukai pendapatan berjumlah RM16.4 juta kepada kerajaan pusat sejak 2019.

"Di bawah Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2006 (Akta 654) dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), kerajaan pusat bertanggungjawab kepada perkhidmatan bekalan air di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Perlis, Kedah dan Pulau Pinang adalah tiga negeri jiran di Malaysia dan bukan tiga negara berbeza.

"Secara ringkas, tiada alasan atau asas undang-undang bagi Menteri Besar Kedah membezakan Pulau Pinang dalam menuntut pembayaran kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan menuntut RM50 juta setahun daripada kerajaan Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan pampasan RM100 juta setahun daripada kerajaan pusat untuk menghentikan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda.

-- BERNAMA