KUALA LUMPUR: Pulau Pinang tersenarai di tangga ketiga selepas Malta dan Mallorca, Sepanyol sebagai 15 pulau terbaik di dunia untuk menikmati usia persaraan bagi tahun 2021.

Selain Malaysia, beberapa negara Asia seperti Bali, Indonesia turut tersenarai dengan menduduki tempat kesembilan, Koh Samui, Thailand (ke-10) dan Phu Quoc, Vietnam (ke-15) dalam carta itu.

Turut tersenarai adalah Ambergris Caye, Belize (keempat), Ireland (kelima), Roatan, Honduras (keenam),  Isla Mujeres, Mexico (ketujuh), Isla Colon, Panama (kelapan), Las Terrenas, Dominican Republic (ke-11), Crete, Greece (ke-12), Cozumel, Mexico (ke-13) dan Caye Caulker, Belize (ke-14).

Artikel yang diterbitkan Travel Awaits pada Sabtu lalu, menyebut jika memilih sebuah pulau yang lengkap dengan pantai yang cantik, udara laut yang menyegarkan serta gaya hidup yang santai selepas pesaraan, maka 15 lokasi itu tentunya akan menjadi pilihan tepat mereka.

Antara kriteria yang diambil kira dalam menentukan kedudukan senarai ini adalah melihat pada kemampuan seseorang menjalani kehidupan yang sederhana dengan 'mesra simpanan'.

Menurut penulis, Kara Williams, Pulau Pinang bukan sahaja dilihat sebagai 'mesra pelancong' sebaliknya juga terkenal dengan kepelbagaian kaum serta penggunaan bahasa Inggeris yang secara menyeluruh. Ia menjadikan pulau bekas jajahan Biritsh itu berada di tempat ketiga dalam senarai tersebut.

Bagi pengemar makanan, Pulau Mutiara itu juga dikenali dengan syurga makanan dengan kepelbagaian menu dari street food sehingga makanan bertaraf lima bintang yang mampu dinikmati dengan harga mampu milik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin dalam kenyataan di Facebooknya memberitahu, pemilihan Pulau Pinang di tempat ketiga dalam senarai itu adalah yang pertama melibatkan negara Asia dalam carta itu.