KUALA LUMPUR: Memulihara alam sekitar memerlukan bukan sahaja polisi dan undang-undang yang tegas, tetapi juga keterlibatan semua pihak termasuk orang ramai.

Pengerusi Rangkaian Pembangunan Lestari Malaysia (SUSDEN Malaysia), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, hal membabitkan alam sekitar memerlukan penyertaan dalam kalangan orang ramai, khususnya bagi proses membuat keputusan.

"Perubahan iklim sebenarnya merupakan isu paling utama. Ia mengenai ekonomi, punca pendapatan dan juga keselamatan makanan. Oleh itu, kesedaran orang ramai mesti dibangkitkan tentang bagaimana perubahan iklim akan memberi kesan kepada pihak berkepentingan yang berbeza, terutamanya kumpulan terpinggir, dan keperluan mendesak untuk bersedia dan menangani kesannya.

"Jadi kesedaran orang ramai sebenarnya sangat penting. Jika tidak, ahli politik tidak akan mendengar atau menerima perubahan, kerana jika orang ramai tidak menyedari hubungan antara alam sekitar dan kesan kepada rakyat biasa, ahli politik pun tidak akan ambil berat.

"Penting untuk kita mendidik rakyat biasa supaya penggubal dasar mula mengambil serius isu perubahan iklim iklim," katanya ketika membuat pembentangan di bawah Manifesto Rakyat untuk alam sekitar bertajuk A Steawards of Environment, pada Rabu.

Manifesto Rakyat ialah projek kerjasama antara Gabungan Bertindak Malaysia dan Platform Pertubuhan Masyarakat Madani untuk Perubahan (CSO Platform) untuk Pembaharuan.

Ia bertujuan untuk merapatkan jurang antara wakil rakyat dengan rakyat di bawah 27 tema polisi, di samping memperkasakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan awam dan individu bagi mendapatkan sokongan atau pengiktirafan daripada masyarakat umum dan parti politik.

Tambah Muhammad Sha'ani lagi, proses membuat keputusan juga bukanlah hanya tentang mencari jalan penyelesaian, tetapi lebih penting, ia perlu bersifat mendidik dan memberi pengajaran.

Beliau turut menggariskan beberapa cadangan lain, antaranya mengisytiharkan kecemasan iklim, ketelusan dalam proses membuat keputusan dan pemuliharaan sumber asli negara.