SAMPAI bila?

Itu persoalan yang sehingga kini masih tiada jawapan.

Insiden pencemaran sungai seolah-olah tiada noktah, ditambah pula situasi hari ini apabila berlaku pembangunan pesat di kawasan hulu sungai.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati puluhan kilang kecil dan besar beroperasi sepanjang Sungai Gong dan Sungai Selangor.

Jarak paling dekat kedudukan kilang-kilang dari sekitar Sungai Gong dan Sungai Selangor dianggarkan kira-kira 800 meter sahaja.

Dalam jarak itu, kebanyakan yang beroperasi adalah Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Sebuah premis yang dipercayai terlibat dengan insiden pencemaran Sungai Selangor telah disita oleh pihak berkuasa

Di Taman Velox, Rawang - lokasi pencemaran baru-baru ini, taburan kilang-kilang kecil dilihat “berselerakan” beroperasi di lot-lot kedai.

Lensa Astro AWANI turut merakam sebuah kilang yang disita pihak berkuasa susulan insiden pencemaran Sungai Selangor, baru-baru ini.

Astro AWANI kemudian bergerak ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari insiden pencemaran iaitu di Jalan Bestari Jaya Utama, Rawang.

Di sini, kelihatan banyak kilang perindustrian berskala besar beroperasi.

Atas faktor geografik, lembangan sungai di Malaysia terutamanya di kawasan muka sauk sangat terdedah kepada risiko pencemaran. Namun, selain faktor tersebut, kewujudan industri di sepanjang sungai ini juga dilihat begitu membimbangkan.

Apakah penyelesaian kepada kewujudan industri ini?


Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr Zaki Zainuddin berpandangan, selain memindahkan kilang-kilang sedia, pihak berkuasa perlu mengenal pasti industri yang berisiko tinggi dan mengawal pembangunan kilang tersebut.

Kilang-kilang sedia ada, jelas beliau tidak boleh dibenarkan membesarkan operasi mereka, kerana ia merisikokan berlakunya pencemaran.

"Ini harus ada satu senarai yang diwujudkan oleh pihak-pihak berkuasa untuk mengenal pasti apakah premis-premis yang berisko tinggi?

"Jadi, kita kena buat senarai itu terlebih dahulu baru boleh kita tahu dan kenal pasti mana yang boleh berada di hulu muka sauk dan yang mana (industri) yang tidak boleh.

"Cara kita untuk menguatkuasakan perkara tersebut adalah kita boleh mengarahkan pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) (untuk menyemak) proses permohonan kelulusan pembangunan," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.


Mengulas lanjut Zaki berkata, pendekatan rawatan air sisa industri secara berpusat boleh dikaji bagi memudahkan penguatkuasaan terhadap premis berdekatan sungai.

Katanya, ketika ini beberapa negara termasuk China telah melaksanakan rawatan air sisa industri secara berpusat.

"Rawatan air sisa industri berpusat ini maknanya air-air sisa yang dijana di setiap premis disalurkan ke satu pusat sistem, di mana air sisa itu dirawat.

"Jadi, kalau kita mengambil pendekatan ini, maka penguatkuasaan itu lebih mudah dilakukan sebab ia hanya melibat satu premis berpusat.

"Selain itu,  apabila kita membuat sistem rawatan berpusat, tidak semestinya sisa efluen harus dilepaskan ke dalam sungai, mungkin air telah dirawat itu boleh dibekalkan balik kepada pihak industri untuk kegunaan mereka," ujar beliau lagi.

Dalam masa yang sama, Zaki berkata sistem perundangan negara perlu lebih ketat khususnya berkaitan kadar pelepasan ammonia ke dalam sungai.

Ujar beliau, ketika ini bacaan ammonia yang dibenarkan berada di muka sauk ialah 1.5 miligram/liter (mg/l), dengan setiap kilang dibenarkan melepasi kadar ammonia sebanyak 10 mg/l.

Justeru, katanya pendekatan baharu perlu diwujudkan termasuk mengawal pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai iaitu aplikasi Total Maximum Daily Load (TMDL) di kawasan yang ditetapkan.