MALAYSIA
Punca rekahan di Buloh Kasap belum dipastikan ada kaitan gempa bumi - JMG Johor

Penduduk Jalan Buloh Kasap, Batu 2, Ramlah Ishak, (kiri) bersama kakaknya Umi Kalsom Ishak, menunjukkan kesan rekahan tanah ketara di kawasan kebun di bahagian belakang rumah yang dipercayai berpunca daripada gegaran gempa bumi. - Gambar Bernama
SEGAMAT: Rekahan tanah di sekitar sebuah rumah di Buloh Kasap di sini belum dapat dipastikan mempunyai kaitan dengan kejadian gempa bumi lemah yang melanda daerah ini minggu lepas.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor Noorazhar Ngatimin berkata rekahan berkenaan berkemungkinan berpunca daripada gegaran, namun ia belum dapat disahkan memandangkan kawasan berkenaan mempunyai lapisan tanah yang lembut.
"Ujian keberintangan yang dijalankan adalah lebih untuk mendapatkan data dengan cepat di kawasan bawah permukaan bagi profil dan lapisan batuan sekali gus mengesan kehadiran retakan.
"Kajian singkat yang dilakukan baru-baru ini hanya melibatkan profil 2D dan bukannya 3D serta hanya dapat mengesan sekadar kedalaman 30 hingga 35 meter sahaja. Kebiasaannya, untuk kajian gempa bumi ia dilakukan sehingga kedalaman 800 meter," katanya kepada Bernama hari ini.Beliau berkata pemeriksaan awal turut mengesan retakan di bawah permukaan, namun tiada bukti menunjukkan rekahan berlaku pada lapisan keras yang melibatkan batuan di dalam tanah.
Noorazhar berkata pihaknya juga tidak menganalisis gegaran atau membuat anggaran berhubung kemungkinan kejadian susulan selepas beberapa siri gegaran minggu lepas iaitu, dari 24 hingga 30 Ogos.
"Selain berkemungkinan akibat gegaran, rekahan yang berlaku di kawasan permukaan tanah ini boleh juga berpunca daripada cuaca yang terlampau panas dan kering, namun kebiasaannya rekahan seperti ini tidak melibatkan kawasan bawah permukaan," katanya.
Beliau berkata Johor mempunyai enam alat seismometer yang berfungsi untuk merekodkan bacaan gegaran iaitu di Gelang Patah, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing.
"Terdapat kesukaran untuk membaca gegaran lemah kerana enam alat berkenaan hanya membaca gegaran berukuran 4.0 magnitud dan ke atas, ini kerana sekiranya kenderaan berat lalu di jalan raya juga menghasilkan gegaran," katanya.
Terdahulu, beliau bersama beberapa pegawai JMG Johor melakukan lawatan serta siasatan ke rumah penduduk di Batu 2, Jalan Buloh Kasap berikutan kejadian rekahan selepas gempa bumi lemah minggu lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami