MALAYSIA
Pupuk rasa sayangkan Jalur Gemilang, agar insiden salah pasang tidak berulang

Insiden Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik menyerlahkan keperluan untuk setiap rakyat Malaysia menyelami maksud bendera ini dan seterusnya memahiri cara mengibarkan dengan betul. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Deretan Jalur Gemilang yang meliang-liuk ditiup angin, menghiasi jambatan, jejantas, tiang-tiang serta premis perniagaan dan kediaman, memantulkan kemeriahan Bulan Kebangsaan yang disambut bagi meraikan dua tarikh keramat negara - 31 Ogos dan 16 Sept.
Ringkasan AI
- Sambutan Bulan Kebangsaan diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang, namun masih ada rakyat tidak cakna etika pemasangan bendera, termasuk insiden bendera terbalik yang menjejaskan maruah negara.
- Jalur Gemilang melambangkan identiti, kedaulatan dan perpaduan negara, dengan sejarah dan maksud warna serta simbolnya yang perlu difahami dan dihormati oleh rakyat.
- Pakar sejarah menyeru rakyat, agensi kerajaan, NGO dan institusi pendidikan memberi pendedahan tentang cara pemasangan yang betul agar kesilapan tidak berulang serta membina semangat patriotik generasi muda.
Sekalipun tidak bermakna mereka ini rapuh semangat patriotik, insiden Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik misalnya, menyerlahkan keperluan untuk setiap rakyat Malaysia menyelami maksud bendera ini dan seterusnya memahiri cara mengibarkan dengan betul.
BENDERA LAMBANG MARUAH IBU PERTIWI
Mengulas isu itu, pakar sejarah Prof Madya Dr Abu Hanifah Haris berkata rakyat Malaysia seharusnya terlebih dahulu menyemaikan rasa sayang akan Jalur Gemilang.
"Bendera melambangkan kedaulatan dan maruah bangsa. Dalam konteks Malaysia, Jalur Gemilang mewakili maruah dan identiti seluruh bangsa Malaysia merentasi kaum dan agama, justeru harus disayangi oleh semua rakyat yang cintakan tanah air mereka.
"Jalur Gemilang tidak hanya harus dijunjung, bahkan wajib diangkat dan diletakkan di tempat yang sesuai sekiranya terjatuh ke tanah," tegas Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya itu kepada Bernama.
Katanya pengibaran Jalur Gemilang ketika Bulan Kebangsaan ialah cara rakyat menzahirkan penghargaan kepada mereka yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air.
Langkah itu juga merupakan manifestasi rasa cinta rakyat kepada negara.
"Justeru, insiden kibarkan bendera terbalik amat sensitif dan tidak seharusnya berlaku lagi," tegas beliau, menambah masyarakat seharusnya mengambil iktibar daripada beberapa kejadian serupa yang berlaku sebelum ini.
(Dari segi tatacara pengibaran bendera global, pemasangan secara terbalik membawa mesej kecemasan atau bahaya atau tanda protes.)
SEJARAH JALUR GEMILANG
Bermula dengan nama Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dinaikkan secara rasmi pada 31 Ogos 1957, bendera ini kemudian dikenali sebagai bendera Malaysia sebelum secara rasmi diisytiharkan Jalur Gemilang pada malam ambang 31 Ogos 1997, bersempena dengan sambutan kemerdekaan negara yang ke-40, oleh Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ke-4 ketika itu.
Berdasarkan carian Internet, nama itu dipilih oleh Jemaah Menteri daripada tiga pencalonan yang disenarai pendek dengan dua lagi ialah Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.
Abu Hanifah berkata maksud "Jalur" itu merujuk jalur lurus pada bendera sebagai simbol laluan lurus dan hala tuju sama diikuti oleh seluruh rakyat, sementara "Gemilang" pula bermakna kecemerlangan negara serta rakyat dalam mengharungi kehidupan serta bersatu menjaga dan menaikkan imej Malaysia.
Menyoroti sejarah Jalur Gemilang, beliau berkata nama itu bukan sekadar nama bendera tetapi tanda pengenalan Malaysia di mata dunia yang membawa imej, identiti dan kedaulatan negara.
"Asal bendera kita ini bermula pada 1947. Direka oleh arkitek Jabatan Kerja Raya negeri Johor, Mohamed Hamzah yang menyertai satu pertandingan mereka bentuk bendera untuk sebuah kerajaan yang bakal ditubuhkan. Sebanyak 373 penyertaan diterima dan tiga disenarai pendek sebelum bendera rekaan beliau dipilih sebagai pemenang," kongsi beliau.
Bagaimanapun reka bentuk asal itu - 11 jalur putih biru dengan bulan bintang berwarna putih dalam pepenjuru merah - menjalani proses penyesuaian sebelum diterima sebagai bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Kini, Jalur Gemilang menampilkan 14 jalur merah putih, bulan berserta bintang pecah 14 berwarna kuning dalam pepenjuru berwarna biru.
Kata beliau 14 jalur serta bintang pecah 14 itu merujuk keanggotaan dalam persekutuan Malaysia, iaitu 13 buah kerajaan negeri dan sebuah kerajaan persekutuan (yang kini meliputi tiga wilayah persekutuan - Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).
Empat warna yang diketengahkan pada Jalur Gemilang membawa maksud tersendiri, iaitu biru menggambarkan perpaduan rakyat; merah (menunjukkan keberanian dan kesediaan mengharungi segala jenis cabaran demi ibu pertiwi); putih (melambangkan kesucian); dan kuning (warna diraja yang menggambarkan kedaulatan Raja-raja Melayu Berperlembagaan serta mendukung lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara).
"... warna kuning pada lambang bulan dan bintang menunjukkan warna diraja yang menandakan kedaulatan Sultan-sultan Negeri Tanah Melayu.
"Warna itu juga merujuk sistem pemerintahan beraja di Malaysia. Oleh itu, penghormatan terhadap lambang kuning pada Jalur Gemilang adalah sama dengan penghormatan terhadap institusi Raja-raja Melayu dan kedaulatan negara, dan kerana itu juga kita harus hormat bendera negara," jelasnya.
KIBARKAN DENGAN BETUL
Berpendapat insiden menaikkan bendera secara terbalik tidak seharusnya berulang lagi selepas ditegur sebelum ini, Abu Hanifah menyifatkan perkara itu berlaku disebabkan sikap tidak peka segelintir rakyat yang mungkin mengambil mudah etika pengibaran bendera.
Malah, kegagalan mereka mengambil iktibar daripada beberapa kejadian sebelum ini termasuk ketika sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun lepas, menunjukkan tidak ada usaha dalam diri masing-masing untuk menambah baik pengetahuan tentang tanah air.
"Sebenarnya ada banyak platform menyediakan maklumat tentang cara mengibarkan bendera dengan cara yang betul. Semua maklumat itu di hujung jari, 'google' sahaja.
"...selain itu, agensi kerajaan sendiri termasuk Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) ada mempaparkan cara mengibarkan bendera dengan betul dalam kempen (Hari Kebangsaan), dan maklumat ini ada dalam portal agensi itu," katanya.
Susulan insiden memasang bendera secara terbalik pada tahun lalu, JaPen mengeluarkan saranan supaya rakyat di negara ini menerima guna buku panduan kaedah pemasangan Jalur Gemilang bagi mengelakkan kesalahan berulang.
Buku bertajuk 'Bendera Kita Jalur Gemilang' itu turut memberi kefahaman akan perkara penting dalam menjaga bendera negara.
JaPen negeri juga menghebahkan cara pemasangan bendera dengan betul di semua platform media sosial jabatan itu.
Pada masa sama, Abu Hanifah tidak menolak insiden kibar Jalur Gemilang secara terbalik disebabkan oleh amalan masyarakat umum sendiri yang hanya mengapungkan bendera setahun sekali, iaitu ketika Bulan Kebangsaan.
Oleh itu, beliau berkata sewajarnya pemasangan Jalur Gemilang dilakukan saban masa, tidak terhad semasa Bulan Kebangsaan semata-mata.
"Jika ada yang memasangnya setiap masa pun kebanyakannya hanya di kompleks ataupun bangunan-bangunan kerajaan. Bagi saya kibaran bendera ini perlu diperluaskan ke tempat tumpuan orang ramai, terutamanya di kompleks beli-belah dan kawasan pelancongan... jadi setiap kali rakyat melihat Jalur Gemilang berkibar di tempat awam, maka imej itu boleh melekat di fikiran mereka.
"Jadi, secara tidak langsung dapat mengelakkan kesilapan cara kita kibarkan atau pasang bendera tersebut," tambahnya.
Abu Hanifah turut melihat inisiatif pemakaian lencana Jalur Gemilang oleh pelajar sekolah dan institusi pendidikan sebagai antara langkah terbaik dalam "merapatkan" generasi muda dengan Jalur Gemilang.
Katanya pendedahan awal kanak-kanak kepada bendera tanah air bukan sahaja menjadikan mereka lebih faham tentang fungsi bendera itu, bahkan turut menyuntik rasa sayang dan semangat cintakan ibu pertiwi dalam jiwa mereka.
'... apabila semua usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan bagi mendekatkan rakyat dengan Jalur Gemilang, namun masih ada melakukan kesalahan sama (bendera terbalik), maka saya kira itu bukan kerana mereka tidak tahu tapi lebih kepada tidak kisah, dan pihak berkuasa wajar ambil tindakan," saran beliau.
Jalur Gemilang tertakluk di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang antara lain memperuntukkan perbuatan seperti mengibarkan bendera secara terbalik sebagai satu kesalahan menghina bendera dan boleh dikenakan denda hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
TINDAKAN MENYELURUH
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang Datuk Abdul Kader Md Ali berkata kesemua agensi termasuk badan bukan kerajaaan (NGO) yang berkaitan dengan sejarah di Malaysia, perlu turun padang bagi memberi pendedahan dan maklumat tentang Jalur Gemilang kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata langkah proaktif itu perlu supaya tidak ada lagi isu kesilapan ketika memasang atau mengibarkan Jalur Gemilang pada masa-masa akan datang.
"Semua pihak kena mainkan peranan, tidak kira wakil, agensi kerajaan ataupun NGO... semua kena turun padang bertemu rakyat dan ajar bagaimana cara hormat (bendera) dan cara tertib dalam penggunaan bendera, termasuk tidak mengibarkan bendera secara terbalik, tidak menggunakan bendera yang rosak, mempunyai lambang yang salah dan sebagainya.
"Saya juga melihat amalan mengagihkan bendera secara percuma kepada rakyat yang dibuat secara meluas pada tahun-tahun sebelum ini seperti di kawasan tol perlu diteruskan. Ini bukan sahaja membangkitkan kemeriahan Hari Kebangsaan itu sendiri tetapi supaya rakyat betul-betul kenal dan ingat akan bendera negara sendiri,'' katanya.
Dalam pada itu Abdul Kader berkata ibu bapa juga perlu turut memikul tanggungjawab mendidik anak-anak tentang sejarah negara, bukan sahaja berkaitan dengan Jalur Gemilang tetapi juga perihal Rukun Negara.
Tegas beliau elemen tersebut ialah "kunci" dalam membangunkan semangat kebersamaan selain mewujudkan penyatuan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
"Apa sahaja yang berkaitan dengan negara ini termasuk bendera dan prinsip-prinsip dalam Rukun Negara adalah wajar dipelihara oleh seluruh rakyat merentas kaum dan agama," katanya yang menggesa kerajaan agar lebih tegas dalam menangani isu memasang Jalur Gemilang secara salah.
"Bendera ialah lambang dan penghormatan negara yang wajib dijaga supaya maruah negara kekal terpelihara," tambahnya.
CARA ETIKA PASANG JALUR GEMILANG
Berdasarkan buku panduan JaPen, bendera Jalur Gemilang hanya dipasang secara melintang walaupun disambung dalam kuantiti yang banyak atau berbentuk "flagline", serta sama sekali tidak dibenarkan dipasang secara menegak.
Untuk "Banner Malaysia" (Jalur Gemilang berbentuk memanjang ke bawah), dari sudut depan kiri panji perlu bermula dengan jalur berwarna merah dan diakhiri jalur putih. Panji itu juga harus mempunyai bentuk ekor yang berukuran satu per lapan (1/8) daripada panjang keseluruhan serta tidak boleh sama sekali dikibarkan secara melintang.
Dari segi etika penggunaan pula, bendera tidak boleh sama sekali digayakan sebagai alas meja, kusyen, langsir, payung, tuala mandi, pelitup muka, kain tudung, topi, songkok, tanjak, samping, pakaian dan lain-lain.
Selain itu, bendera juga tidak boleh dijadikan "pembalut" pada botol, pasu, tiang, tin, tudung saji dan sebagainya, atau dilukis bendera pada objek-objek berkenaan.
Penggunaan bendera dalam pelbagai gaya, gambar serta bentuk yang mengubah fizikal Jalur Gemilang untuk dijadikan iklan bagi tujuan mempromosikan sambutan Bulan Kebangsaan juga tidak dibenarkan.
Mengikut arahan Jabatan Perdana Menteri melalui Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1994, pengibaran Jalur Gemilang diwajibkan di bangunan persekutuan seluruh negara, pejabat-pejabat kerajaan persekutuan, badan-badan berkanun persekutuan dan pihak berkuasa kerajaan tempatan persekutuan.
Selain itu, orang ramai digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis-premis perniagaan, kedai-kedai dan gerai-gerai.
Pekeliling itu turut menetapkan Jalur Gemilang hendaklah dikibarkan pada hari-hari bekerja, Hari Kebesaran Persekutuan dan Hari Kebesaran Negeri.
Bagaimanapun, Jalur Gemilang boleh dikibarkan pada bila-bila masa dan di mana-mana selagi kesesuaian dan kehormatan terhadap bendera itu terpelihara.
Untuk tatacara penggunaan dan pemasangan Jalur Gemilang yang sahih, orang ramai boleh merujuk portal https://www.pmo.gov.my/wpcontent/uploads/2019/12/bendera_kita_jalur_gemilang_2017_upscale.pdf dan https://dbook.penerangan.gov.my/dbook/dmdocuments/jalur_gemilang_2020/files/downloads/jalur_gemilang_2020.pdf.
-- BERNAMA
Raikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan kempen Inilah KITA di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami