Skip to main content

Malaysia

Pusat data N.Sembilan: Bekalan air untuk industri akan dibangunkan - Aminuddin

81730890348_TBAMINUDDINHARUN.jpg
Aminuddin (foto) berkata tiga pusat data berkenaan akan dibangunkan di Nilai, Sungai Gadut di Senawang, dan Springhill di Port Dickson. -Gambar fail

SEREMBAN: Kerajaan Negeri akan membangunkan sumber alternatif air baharu untuk kegunaan sektor industri termasuk menampung operasi tiga pusat data yang bakal dibina di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah berkenaan bagi memastikan pembangunan terbabit tidak menjejaskan bekalan air kepada penduduk.

Advertisement

Menurutnya, tiga pusat data berkenaan akan dibangunkan di Nilai, Sungai Gadut di Senawang, dan Springhill di Port Dickson.

"Kita sedang merancang sumber alternatif air yang baharu untuk kegunaan industri termasuk pusat data berkenaan.

“Dua lokasi telah dikenal pasti, manakala satu lagi dalam perbincangan. Projek berkenaan akan dibangunkan sama ada oleh kerajaan negeri atau pihak swasta," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Loji Rawatan Air(LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2, di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, sumber air terawat Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) hanya akan digunakan sebagai alternatif pada masa-masa tertentu sahaja.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan sebanyak 876 juta liter air sehari diperlukan bagi menampung operasi 104 pusat data di Malaysia pada 2025, jumlah bersamaan keperluan harian hampir empat juta rakyat berdasarkan purata penggunaan domestik sekitar 228 liter seorang sehari.

Angka didedahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu menyerlahkan skala penggunaan air industri digital yang semakin berkembang seiring ledakan pelaburan pusat data bernilai berbilion ringgit di negara ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan sama ada pertumbuhan pesat sektor berkenaan mampu diseimbangkan dengan kapasiti sebenar bekalan air negara.

Selain itu, Aminuddin memaklumkan kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM50 juta tahun ini bagi menggantikan paip lama di seluruh negeri dalam usaha mengurangkan insiden paip pecah.

"Saya mohon maaflah, isu paip pecah yang berlaku dan kita sedang kita atasinya secara berfasa kerana kita tak mampu menggantikan semua sekali gus kerana kosnya mencecah berbilion ringgit.

Sementara itu, berkenaan LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2 yang sudah siap sepenuhnya, beliau berkata, ia mampu memberi manfaat kepada lebih 80,000 akaun melibatkan pengguna domestik,komersial dan industri.

"Projek ini bernilai lebih RM200 juta dan dimulakan pada April 2022 melalui kerjasama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

"LRA ini mampu mengeluarkan sebanyak 150 juta liter air terawat sehari dan ia dibina bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat dan untuk menstabilkan bekalan air ke kawasan sekitar Seremban, Nilai, dan Sendayan demi memenuhi keperluan semasa serta pembangunan yang akan datang," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, paras air di tujuh empangan utama di negeri ini dalam keadaan baik di mana dua empangan mempunyai simpanan 100 peratus manakala, empat empangan melebihi 90 peratus simpanan.

"Satu empangan iaitu Empangan Kelinchi mempunyai 68 peratus simpanan untuk membantu Empangan Sungai Terip," katanya. -Sinar Harian

 

 

Must Watch Video