KUALA LUMPUR: Penyediaan khidmat jagaan kanak-kanak di bawah Program Tarbiyatul Aulad di Masjid Wilayah Persekutuan membolehkan ibu bapa menunaikan solat tarawih dengan tenang tanpa risau akan keselamatan anak-anak.

Kemudahan itu beroperasi bermula 11 Mac lalu sehingga 7 April depan yang dibuka setiap hari bermula jam 8 hingga 10 malam.

Menerusi kemudahan itu, ibu bapa hanya perlu memastikan anak-anak dihantar dalam keadaan bersih dan sihat serta disediakan bekalan keperluan seperti lampin pakai buang, susu, air serta makanan ringan.

Hanya RM10 dikenakan caj kepada ibu bapa yang gagal mengambil anak-anak mereka tepat jam 10 malam.

Menjengah di tempat jagaan kanak-kanak itu, antara tarikan disediakan adalah tempat permainan selain meja bagi membolehkan petugas mengadakan aktiviti bersama anak-anak jagaan.

Turut ditawarkan beberapa reruai menjual alat permainan dan makanan ringan sebagai pilihan anak-anak membeli makanan sementara menunggu ibu bapa mereka menunaikan solat.

Sementara itu, rata-rata pengguna memuji inisiatif disediakan masjid berkenaan yang berharap kemudahan tersebut turut diperluaskan ke masjid lain.

Malah ada di antaranya berminat untuk menjadi sukarelawan.

Antara tarikan disediakan adalah tempat permainan selain meja bagi membolehkan petugas mengadakan aktiviti bersama anak-anak jagaan.

Seorang pekerja swasta, Siti Baizura Mohd Shafiee, 37, berkata, kemudahan itu memberi peluang kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk fokus menunaikan solat tarawih.

"Kadangkala apabila ada anak kecil, keinginan untuk solat tarawih secara berjemaah di masjid terpaksa dilupakan seketika kerana isu penjagaan selain bimbang anak-anak akan membuat bising hingga mengganggu jemaah lain.

"Dengan adanya kemudahan ini, ia sangat membantu selain dapat mendidik anak-anak mendekati masjid sejak kecil," katanya.

Seorang lagi orang awam, Mohd Hizami Mohd Hanip, 40 berkata, program tersebut sangat baik untuk dilaksanakan dan mencadangkan diperluaskan ke masjid lain.

"Mungkin kerajaan, syarikat korporat atau NGO boleh bekerjasama dengan masjid untuk memperbanyak lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini pada Ramadan.

"Ini kerana kebanyakan NGO dan syarikat korporat banyak tertumpu kepada majlis buka puasa dan sumbangan Aidilfitri jadi mungkin boleh dipelbagaikan CSR dalam bentuk ini pula," katanya. - Sinar Harian