KUCHING :Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberi kebenaran buat premis karaoke berbilik di kompleks beli-belah di negeri itu untuk beroperasi.

Menurut pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, keputusan ini berkuat kuasa serta-merta bermula 23 Disember ini.

Namun tegas Uggah, kebenaran itu tidak termasuk KTV Karaoke, kelab malam, pub dan bistro.

“Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah memperhalusi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan premis karaoke di kompleks beli-belah," katanya pada sidang media harian COVID-19 Sarawak, Dewan Undangan Negeri lama, Kuching pada Selasa.


Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak turut memaklumkan bahawa Operasi JALA akan dilancarkan dalam usaha untuk membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri itu.

“Operasi ini adalah sebagai usaha kita memperkukuhkan pengawalan kemasukan PATI ke Sarawak.

“Ini berhubung dengan kes yang dapat kita lihat di Semenanjung dan Sabah yang mana kebanyakan penyakit COVID-19 adalah disebarkan oleh PATI dan kita tidak mahu situasi ini terjadi di Sarawak,” tegasnya.

Jelas beliau lagi, perincian berkenaan operasi JALA akan diumumkan dalam masa terdekat.

Tambah Uggah, susulan peningkatan kes COVID-19 seperti yang dilaporkan dalam sektor pembinaan di Semenanjung, JPBNS turut memperluaskan aktiviti saringan melibatkan kawasan kilang, ladang dan tapak pembinaan.

“Sehubungan itu, aktiviti saringan secara rawak dalam kalangan pekerja kilang, ladang dan tapak pembinaan telah dijalankan sejak Julai 2020 di seluruh Sarawak.

“Saringan ini adalah aktiviti yang berterusan dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutama pemilik premis dan agensi pekerjaan di Sarawak,” ujar Uggah.

Sehingga kini, seramai 7,483 individu telah disaring di Sarawak dan dari hasil saringan telah mengesan satu kes positif, manakala keputusan bagi individu yang lain adalah negatif.