PULAU PANGKOR: Kerajaan Negeri Perak akan mewartakan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Teluk Ketapang sebagai tapak pemuliharan serta pemeliharaan hidupan marin.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata langkah itu perlu bagi memastikan tiada pembangunan di kawasan itu.

"Kita dalam proses untuk memastikan kawasan ini tertumpu kepada pembiakan dan pendaratan penyu. Kita akan lihat luas kawasan tersebut dan mewartakannya agar tiada bangunan dibina di sini," katanya pada sidang media selepas merasmikan pusat itu hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Wan Muhammad Aznan Abdullah dan Timbalan Pengarah Perikanan Perak Albert Apollo Chan.

Mohammad Nizar, yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata kerajaan negeri juga akan memasukkan pusat itu sebagai destinasi yang harus dikunjungi sempena Tahun Melawat Perak pada 2024.

- - LAGI



EXCO-PENYU 2 (AKHIR) PULAU PANGKOR



Wan Muhammad Aznan pula berkata Perak merupakan negeri keempat tertinggi yang mencatatkan pendaratan penyu iaitu 61 ekor.

"Negeri yang mendahului ialah Terengganu sebanyak 9,632 ekor diikuti Melaka (969), Pahang (368) dan Pulau Pinang (54)," katanya sambil menambah pada 2022, populasi penyu di Malaysia ialah sebanyak 11,129 ekor berdasarkan jumlah pendaratan yang dicatat di tujuh negeri termasuk Negeri Sembilan dan Labuan.

Beliau berkata pada 1989, Perak membina Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu pertama di Segari yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan, penetasan serta pengurusan penyu selain program publisiti.

"Penubuhan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Teluk Ketapang ini diharap dapat menarik lebih banyak kerjasama daripada institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara, badan bukan kerajaan, pakar dari dalam serta luar negara bagi aktiviti penyelidikan serta kajian terhadap penyu," katanya.

Wan Muhammad Aznan juga berkata pada 2022, terdapat empat kes pengutipan telur penyu secara haram iaitu tiga di Sabah dan satu di Terengganu.

"Dulu tiada pemantauan menyeluruh, jadi mungkin ada kejadian pengutipan telur penyu secara haram. Pengutip penyu perlu berdaftar dan mendapatkan tauliah untuk menjual semula kepada Jabatan Perikanan. Setakat ini, tiada rekod pengutip telur penyu berdaftar di Pulau Pangkor namun kita mengesyorkan (mereka yang berminat) untuk mendapatkannya (mendaftar) kerana ia percuma.

"Kita benarkan orang ramai melihat penyu tetapi perlu memastikan agar tiada gangguan seperti lampu dan bunyi kerana hidupan ini agak sensitif dan akan mengganggu proses penetasan telur," katanya.

-- BERNAMA