Lelaki terjatuh rumah bot ditemukan lemas

Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sebuah rumah bot di Tasik Banding,Gerik pagi tadi ditemukan lemas petang ini oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM. - Gambar fail/hiasan
IPOH: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sebuah rumah bot di Tasik Banding,Gerik pagi tadi ditemukan lemas petang ini oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pemangku Ketua Operasi JBPM Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata mangsa Hizzbullah Mohd Rizalman, 26, dilaporkan hilang pada 10.28 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik ke lokasi kejadian, kira-kira 45 kilometer dari balai.
"Jentera pertama tiba pada 11.18 pagi sebelum kita melakukan size-up dan pencarian dibahagikan kepada tiga zon melibatkan bot Polis Marin dan anggota bomba, bot Polis Pengkalan Trojan dan sebuah bot orang awam yang menjalankan pencarian permukaan dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai jatuh.
"Pencarian turut dibantu dua penyelam skuba swasta dari Syarikat Trapia Tasik Banding dan pada 4.15 petang, pasukan PPDA dari BBP Kuala Kangsar menjalankan selaman pada kedalaman kira-kira 12 meter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shazlean berkata pada 5.23 petang, mangsa berjaya ditemukan oleh penyelam PPDA pada jarak lima meter dari lokasi terakhir beliau dilihat sebelum terjatuh ke dalam tasik.
Mangsa kemudian dibawa ke daratan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


