KUALA LUMPUR:Kerajaan telah meluluskan dan membiayai pusat kuarantin transit pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah, bagi mengekang penularan dalam kalangan penghuni di depo tahanan.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri, empat lokasi telah dikenal pasti iaitu dua di Kota Kinabalu dan dua di Sandakan.

"Kesemua tahanan PATI baharu ini akan terlebih dahulu menjalani saringan swab test di pusat kuarantin ini.

"Jika didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan bagi yang negatif mereka akan dikuarantin wajib 14 hari di pusat tahanan ini," katanya.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia juga, kata beliau, akan mengaktifkan hospital medan di Tawau sebagai bantuan sokongan kes-kes perubatan selain COVID-19, seperti bersalin dan trauma.

"Hospital ini mempunyai 100 katil pelbagai wad dengan kekuatan seramai lapan pegawai perubatan dan 54 lain-lain pangkat terdiri daripada seorang komander, lima doktor pakar, tiga pegawai perubatan dan lain-lain kakitangan.

"Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan melaksanakan penerbangan secara harian ke Sabah bagi membantu KKM dalam urusan logistik termasuk membawa kakitangan perubatan serta membawa sampel saringan swab test ke makmal di Semenanjung," ujarnya.