Ketika 'sorakan semakin pudar' MMM Hall of Fame 2025 angkat legasi wira sukan negara

Kumaran Puthianadar, berkata penghargaan terhadap bekas atlet amat penting bagi memastikan jasa dan sumbangan mereka tidak tenggelam ditelan masa. - Gambar MMM
KLANG: Ketika sorakan di stadium kian 'senyap' dan nama-nama besar pemain sukan yang pernah mengharumkan nama negara di persada dunia perlahan-lahan hilang daripada radar, jasa bekas atlet kebangsaan juga sering dipinggirkan tanpa disedari.
Ringkasan AI
- Mannin Mainthan Malaysia (MMM) mengadakan acara MMM Hall of Fame 2025 di Bukit Tinggi, Klang, untuk mengiktiraf bekas atlet kebangsaan serta menghidupkan semula semangat kesukanan dalam masyarakat.
- Bekas atlet terkenal seperti Datuk K Rajagopal, Datuk Santokh Singh, G Shanti, dan Datuk M Ramachandran menerima pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka dalam sukan negara.
- Selain atlet, tokoh dari pelbagai bidang seperti seni, media, bela diri, pendidikan, dan kreatif turut diiktiraf dalam MMM Hall of Fame 2025 sebagai penghargaan atas sumbangan mereka kepada negara.
Di sinilah Mannin Mainthan Malaysia (MMM) tampil mengisi kekosongan itu, bukan sekadar sebagai penganjur majlis, tetapi sebagai 'perakam' memori.
Menerusi penganjuran MMM Hall of Fame 2025 di Bukit Tinggi, Klang, Sabtu lalu, MMM mengambil inisiatif mengiktiraf bekas atlet kebangsaan, sekali gus menghidupkan semula semangat kesukanan yang semakin pudar dalam kalangan masyarakat.
Antara yang menerima pengiktirafan ialah bekas ketua jurulatih pasukan bola sepak bawah 23 tahun kebangsaan serta pasukan utama negara, Datuk K Rajagopal, selain K Sanbagamaran, yang pernah mencipta nama pada era kegemilangan bola sepak tanah air menerusi pencapaian membanggakan.
Turut diraikan ialah bekas pemain bola sepak negara, Datuk Santokh Singh, yang namanya sinonim dengan disiplin, komitmen dan kecemerlangan dalam arena sukan kebangsaan.
Pengiktirafan turut diberikan kepada bekas atlet pecut negara, G Shanti, yang pernah memegang rekod kebangsaan acara 100 meter.
Catatan masa 11.50 saat yang dilakukannya pada Kejohanan Pra Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1993 kekal selama 31 tahun, sebelum akhirnya dipecahkan oleh Zaidatul Husniah Zulkifli dengan catatan 11.49 saat.
Selain itu, bekas pelari jarak jauh negara, Datuk M Ramachandran, turut menerima pengiktirafan atas pencapaiannya sebagai pemegang rekod kebangsaan bagi acara 5,000 dan 10,000 meter.
MMM Hall of Fame 2025 turut mengiktiraf Anastasia Karen Raj, atlet jalan kaki wanita pertama dari Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Atlanta 1996, sekali gus mencipta sejarah dalam arena sukan negara.
Dalam kategori pendaki pula, Datuk Magendran M Munisamy dan Datuk Mohanadas Nagappan diraikan atas pencapaian luar biasa mereka sebagai rakyat Malaysia pertama yang berjaya menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest, pada 1997.

Dr Vimala Perumal (kiri) menerima pengiktirafan dalam industri kreatif - Gambar MMM

Pengiktirafan juga diberikan kepada pelari jarak jauh, M Ramachandran (kiri) - Gambar MMM
Sumbangan dalam pembangunan sukan bela diri turut diberi perhatian apabila Datuk M Ramachandra menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Sukan Bela Diri atas peranan serta jasanya dalam pengurusan dan pembangunan sukan tersebut di negara ini.
Dalam kategori Seni Mempertahankan Diri, Hanshi Datuk Dr T Ponniyah menerima anugerah atas pencapaian serta sumbangannya dalam memartabatkan seni karate di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Bagi kategori Kepimpinan Nasional, anugerah disampaikan kepada bekas Presiden MIC, mendiang Tun S Samy Vellu, sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan besar beliau dalam kepimpinan serta pembangunan negara.
Sementara itu, dalam kategori media, pembaca berita RTM V Arumugam dan pengamal media SP Saravanan turut menerima pengiktirafan atas peranan serta dedikasi mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Pengiktirafan dalam industri kreatif pula diberikan kepada Dr Vimala Perumal dan Karthik Shaamalan dalam kategori Pengarah dan Penerbit atas sumbangan mereka dalam memperkaya landskap seni dan hiburan tanah air.
Dalam bidang pendidikan, pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Vijayaletchumy dan Datuk Eswaran menerima anugerah sebagai menghargai sumbangan berterusan beliau dalam pembangunan akademik dan modal insan negara.
Selain atlet dan tokoh sukan, MMM Hall of Fame 2025 turut mengiktiraf sumbangan tokoh seni dan budaya.
Pelawak dan pelakon Sathiya atau nama sebenarnya, Sathia Periasamy diberi anugerah Tokoh Sathiya atas sumbangan dan dedikasi beliau dalam bidang seni, khususnya dalam memartabatkan warisan dan ekspresi budaya India tempatan.
Selain Sathiya, antara yang turut diraikan adalah termasuk Sun J Perumal, Accapan, Sangeeta Krishnasamy, Kalaimamani Egavalli, Kalaimamani KS Maniam, Viveck Ji, Strideran, Indran Era dan Malaysia Vasudevan.
Sementara itu, Pengasas MMM, Kumaran Puthianadar, berkata penghargaan terhadap bekas atlet amat penting bagi memastikan jasa dan sumbangan mereka tidak tenggelam ditelan masa.
Menurutnya, kemajuan teknologi dan media sosial turut membantu memudahkan usaha menghubungi bekas atlet, termasuk melalui anak-anak mereka yang lebih aktif di platform digital.
"Kita tidak mahu MMM Hall of Fame hanya dikenali sebagai sekadar majlis penganugerahan, sebaliknya berfungsi sebagai wadah peringatan agar jasa bekas atlet negara terus dikenang, sekali gus menyemai semangat kesukanan dan patriotisme dalam kalangan generasi akan datang," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


