LIPIS: Pusat tahfiz di Jalan Cheneras di sini yang tular di media sosial semalam ekoran lima lelaki memukul seorang pelajar dan seorang guru hingga cedera ditutup sementara waktu.

Difahamkan 25 pelajar yang majoriti dari daerah Lipis dan Gua Musang berserta  tiga tenaga pengajar dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Menurut sumber,  pusat tahfiz yang beroperasi sejak 2016 itu  ditutup sehingga siasatan polis selesai dan dijangka dibuka semula sekitar bulan hadapan.

Semalam, media melaporkan seorang ustaz menerima empat jahitan di mata kanan dan tangan serta badan lebam selepas diserang lima lelaki di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras, di sini.

Kejadian pada pukul 5.10 petang Khamis lalu dipercayai berlaku ekoran tidak berpuas hati soal pembayaran makanan di pusat  tahfiz terbabit.

Suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat itu yang mana tiga orang menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga pusat terbabit.

Kejadian tersebut tular di media sosial apabila satu video berdurasi 2.51 minit menunjukkan seorang lelaki yang memakai seluar pendek memarahi seorang mangsa sebelum bertindak memukulnya.

Video Tular | Individu mengamuk di tahfiz, pukul pelajar

Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.

Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata,  bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis menjalankan beberapa serbuan pada awal pagi tadi di kawasan Damak, Jerantut dan menahan dua suspek.

Katanya,  semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dadah dan mereka berdua juga positif methamphetamine.

Pusat tahfiz di Jalan Cheneras di sini ditutup sementara waktu sehingga siasatan polis selesai.

Video rakaman insiden seorang ustaz dan pelajar tahfiz diserang tular di media sosial semalam dan mencetus perbincangan dalam kalangan warga maya.