Skip to main content

Malaysia

Raih pahala besar Ramadan melalui amalan ringkas

Foto: Reuters
Ramadan merupakan bulan suci yang penuh rahmat dan keampunan, di mana umat Islam diberi peluang untuk menggandakan amalan kebaikan. -Gambar fail/Reuters

RAMADAN merupakan bulan suci yang penuh rahmat dan keampunan, di mana umat Islam diberi peluang untuk menggandakan amalan kebaikan. 

Bulan ini disebut dalam al-Quran sebagai bulan diwajibkan berpuasa agar umat Islam meningkatkan ketakwaan: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah: 183)

Advertisement

Niat yang ikhlas serta kesungguhan dalam beramal menjadikan amalan yang sederhana tampak besar nilainya di sisi Allah SWT. Justeru terdapat amalan mudah yang boleh diamalkan sepanjang Ramadan yang menjanjikan pahala berlipat ganda, antaranya:

 

Puasa dengan Niat Ikhlas

Inti Ramadan ialah ibadah puasa pada siang hari dengan menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan. Niatkan puasa semata-mata kerana Allah SWT dengan disertai hati yang ikhlas dan sabar menghadapi dugaan lapar dahaga. 

Puasa melatih umat Islam agar bersabar, mengawal emosi dan memperbanyak sifat takwa. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan (pahala), akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. al-Bukhari, no. 38)

 

Solat Tarawih dan Ibadah Malam

Malam-malam Ramadan sebaiknya dihidupkan dengan solat sunat Tarawih serta ibadah qiamullail. Selepas berbuka dan menunaikan solat Isyak, umat Islam digalakkan menunaikan solat Tarawih sama ada bersendirian atau berjemaah di masjid.

Meskipun solat Tarawih merupakan ibadah sunat, ia menjanjikan pahala yang sangat besar. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa mendirikan solat di malam Ramadan dengan iman dan mengharap pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (Muttafaqun ‘Alaih).

Selain Tarawih, rebutlah kelebihan ibadah malam terutama pada 10 malam terakhir Ramadan. Malam-malam ini sangat istimewa kerana terdapat Lailatul Qadar yang “lebih baik daripada seribu bulan”. 

Oleh itu, cubalah untuk istiqamah bangun berqiyam dengan menunaikan solat tahajud, berdoa serta berzikir menjelang waktu sahur bagi mengejar pahala dan keampunan yang dijanjikan Allah SWT.

 

Tadarus al-Quran

Ramadan digelar juga “Syahrul Quran” (Bulan al-Quran) kerana pada bulan inilah al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia. Justeru, amalan tadarus al-Quran seperti membaca, memahami dan menghayati al-Quran adalah sangat dituntut sepanjang bulan mulia ini. Sama ada secara individu atau berkumpulan, cubalah untuk tetapkan jadual membaca al-Quran setiap hari dengan hasrat mengkhatamkannya pada akhir bulan.

Selain membaca, luangkan masa untuk memahami tafsir dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian kerana inilah amalan nampak sederhana tapi tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

 

Zikir Harian dan Doa

Memperbanyakkan zikir dan doa adalah amalan mudah yang boleh dilakukan bila-bila masa, khususnya di bulan Ramadan. Basahkan lidah dengan zikir harian seperti tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), tahlil (Laa ilaha illallah) dan takbir (Allahu Akbar) sepanjang hari.

Zikir menghidupkan hati dan mengingatkan seseorang sentiasa kepada Allah, sementara doa adalah senjata orang beriman untuk memohon hajat dan keampunan daripada-Nya. Berdoalah terutama pada waktu mustajab seperti sebelum berbuka puasa dan ketika bersahur.

 

Sedekah dan Amalan Kebajikan

Ramadan juga dikenali sebagai bulan kemurahan hati dan berbuat kebajikan. Sekecil mana pun amalan sedekah dan kebaikan, ganjarannya dilipatgandakan Allah pada bulan ini. 

Budayakan memberi sedekah mengikut kemampuan, sama ada wang ringgit, makanan untuk berbuka puasa atau bantuan tenaga dan masa kepada yang memerlukan. Nabi Muhammad SAW ialah manusia paling pemurah dan Baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadan.

Sebagai kesimpulannya, walaupun sesibuk mana sekalipun urusan harian seseorang, adalah tidak wajar untuk meninggalkan segala amalan ibadah sepanjang Ramadan kerana bulan ini menawarkan ganjaran pahala yang berlipat ganda. 

Namun begitu, amalan-amalan ringkas seperti yang disebutkan di atas sudah memadai untuk membantu meraih rahmat dan ganjaran yang maksimum daripada bulan yang mulia ini.

Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran besar, mengampunkan dosa-dosa yang lalu dan menjadikan kita insan yang lebih bertakwa atas usaha mengisi dan menghidupkan Ramadan ini dengan beribadah kepada-Nya.

Must Watch Video