Skip to main content

Malaysia

McDonald’s Malaysia perkasa belia melalui Program Santun Pelajar, sasar agih 1 juta hidangan Nasi Mekdi sepanjang 2026

MCD SANTUN PELAJAR
McDonald’s Malaysia melancarkan Program Santun Pelajar untuk seluruh negara, dengan sasaran menyajikan 1 juta hidangan kepada pelajar memerlukan sepanjang 2026, bermula dengan 20 rakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi menyediakan 50,000 hidangan Nasi Mekdi bersempena Ramadan. - Foto McDonald’s Malaysia

KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia melancarkan Program Santun Pelajar sebagai inisiatif kebajikan bagi membantu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang berdepan tekanan kos sara hidup, sekali gus memastikan keperluan asas seperti makanan tidak menjadi penghalang kepada kejayaan akademik mereka.

Berikutan itu, McDonald’s Malaysia menyasarkan penyediaan 1 juta hidangan Nasi Mekdi sepanjang 2026, dengan fasa permulaan menyaksikan penyerahan baucar kepada wakil 20 IPT di 11 negeri bagi membolehkan pelajar yang dikenal pasti menikmati hidangan berkhasiat di restoran McDonald’s berhampiran.

Advertisement

Sebanyak 50,000 hidangan Nasi Mekdi akan mula diagihkan setiap hari bekerja dari 19 Februari hingga 10 Mac 2026 bersempena bulan Ramadan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata program itu merupakan kesinambungan komitmen jangka panjang syarikat dalam memperkasa pembangunan belia negara.

Menurutnya, McDonald’s telah lama menyokong pembangunan belia melalui latihan vokasional dan peluang kerjaya, termasuk Akademi Vokasional McDonald’s di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

“Walaupun Program Santun Pelajar merupakan satu inisiatif yang baharu, ia sebenarnya suatu perluasan kepada komitmen yang telah lama dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia untuk menyokong pembangunan belia di Malaysia.

“Contohnya melalui Akademi Vokasional McDonald’s yang ditubuhkan di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) pada tahun 2018. Setakat ini lebih 5,000 graduan telah berjaya dilahirkan dan ramai antara mereka memilih untuk meneruskan kerjaya bersama McDonald’s,” katanya.

Image
MCD SANTUN PELAJAR
Azmir Jaafar menekankan komitmen berterusan bagi menyokong pembangunan belia melalui pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan, seiring dengan pelancaran Program Santun Pelajar bagi menyokong kesejahteraan dan kejayaan pelajar. Foto - McDonald’s Malaysia

Tambahnya, peningkatan kos makanan, pengangkutan dan penginapan memberi tekanan besar kepada pelajar sehingga ada yang terpaksa bekerja sambilan dan menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran.

Program ini dilaksanakan melalui libat urus bersama universiti, politeknik, kolej komuniti dan institusi TVET, dengan pelajar yang benar-benar memerlukan dikenal pasti secara telus melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar masing-masing.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata lebih banyak institusi dijangka menyertai program berkenaan selepas musim perayaan.

“Kami sangat teruja kerana ramai lagi IPT ingin bekerjasama dengan McDonald’s, cuma pada masa ini sebahagiannya sedang dalam cuti semester. Selepas Ramadan dan Hari Raya nanti, lebih banyak IPT akan turut serta,” ujarnya.

Beliau berkata peluasan program ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memastikan pelajar mendapat sokongan sewajarnya ketika berdepan cabaran kos sara hidup.

Pada masa sama, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Selangor (UIS), Dr Salman Zainal Abidin turut menyambut baik program tersebut yang disifatkan memberi manfaat langsung kepada pelajar yang memerlukan.

“Kami amat menghargai inisiatif ini kerana ia memberikan sokongan terus kepada pelajar yang memerlukannya. Kos sara hidup memberi tekanan kepada pelajar, dan program seperti ini membantu mereka kekal fokus dalam pengajian,” jelasnya.

Image
MCD SANTUN PELAJAR
Azmir Jaafar (tengah) bersama para pelajar IPT, memperkenalkan set Nasi Mekdi, sebahagian daripada inisiatif Program Santun Pelajar, yang merupakan usaha berterusan McDonald’s Malaysia untuk meringankan beban harian pelajar dan memberi impak positif melalui akses mudah kepada makanan berkhasiat. - Foto McDonald’s Malaysia

McDonald’s Malaysia turut menjalin kerjasama kukuh dengan beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam usaha memperkasa pembangunan pelajar.

Pelancaran program di restoran pandu-lalu McDonald’s Titiwangsa menandakan permulaan usaha lebih besar dalam memastikan pelajar sebagai generasi peneraju negara menerima sokongan menyeluruh, daripada keperluan asas harian hingga pembangunan kerjaya masa depan.

Must Watch Video