Puteri UMNO hari ini memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk segera menyelesaikan kemelut kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap dirinya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata permohonan itu telah dibuat kepada Presiden UMNO itu semasa perjumpaan beliau dengan Bahagian-Bahagian Puteri UMNO seluruh negara di PWTC hari ini.

"Saya mohon antara Tun (Mahathir) dan beliau (Najib) agar dapat diselesaikan dengan segera.

"Kita juga tahu dan faham ada budi bicara (untuk menyelesaikannya), tetapi kita mohon agar ia dapat diselesaikan dengan baik dalam suasana harmoni dan kekeluargaan.

"Kerana Puteri lahir di bawah tangan Tun Mahathir.

"Sebab itu kami sayang kedua-dua pemimpin ini," kata Mas Ermieyati kepada pemberita, di satu sidang media selepas perjumpaan bersama Najib itu.

Mas Ermieyati menambah sebagai orang muda, mereka menyampah jika perkara itu tiada kesudahan.

"Puteri UMNO sokong Najib berjumpa Tun Mahathir. Atau apa salahnya Tun M jumpa ayahanda Presiden kami?" tanyanya.

Kebelakangan ini Mahathir sering mengkritik pedas Najib atas pelbagai isu termasuk kes pembunuhan Altantuya dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).