KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya Negara-Negara Teluk yang menguasai pasaran minyak dunia memainkan peranan mereka untuk melumpuhkan Israel.

Katanya, dunia Islam tidak memiliki kekuatan persenjataan tetapi menguasai pasaran minyak yang diperlukan seluruh dunia termasuk Israel.

Oleh itu, ia harus dijadikan alat untuk mengenakan tekanan kepada mereka, kata bekas perdana menteri itu.

"Pendapat saya, kita kaji dulu apa yang kita ada, apa yang kita boleh buat, kerana kita punyai kuasa tertentu, bekalan minyak di seluruh dunia contohnya, dikuasai oleh kita.

"Kalau kita tak beri minyak, mereka tak boleh buat apa-apa. Ini boleh kita lakukan secara halus sehingga mereka tak dapat buat apa-apa kepada kita.

"Sebab itu saya berpendapat, dalam melakukan sesuatu peperangan, kita harus senaraikan kuasa yang ada pada kita dan musuh kita, dan siapa yang boleh jadi kawan kita. Itu amat penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai ahli panel program Dialog Tiga Penjuru: Di Sebalik Senyuman Hamza di Astro AWANI malam tadi.

Selain Dr Mahathir, dua lagi ahli panel adalah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford Datuk Dr Afifi Al-Akiti. 


Dr Mahathir berkata, selain mengenal pasti kekuatan dan kuasa yang ada pada musuh dan rakan seperjuangan, untuk mencapai kejayaan perlu ada strategi yang betul.

"Dalam Perang Dunia II, apabila British berperang, mereka cari kawan. Mereka sanggup terima Rusia, musuh mereka, sebagai kawan.

"Kerana, mereka tahu, kalau Rusia lawan Jerman, maka serangan terhadap Britain kurang sedikit. Fikirkanlah.

"Kalau waktu perang itu cuma Britain saja hendak lawan Jerman, saya tak rasa mereka mampu. Tetapi apabila dia dapat kerjasama dengan Amerika dan Rusia, maka dengan itu, mereka mencapai kemenangan.

"Ini strategi. Dan kita perlu ada strategi dalam apa-apa juga perjuangan kita," kata Dr Mahathir.


Sementara itu, Afifi menyeru Malaysia dan negara-negara Islam supaya mengikut jejak Republik Ireland yang menentang penuh negara haram Israel menerusi dasar kerajaannya.

Katanya, polisi anti-Zionis kerajaan itu perlu dicontohi.

"Republik Ireland buat dua benda. Satu, polisi dalaman. Mereka merangka undang-undang pada 2018 untuk boikot, hentikan apa sahaja pelaburan dengan kepentingan Zionis dan untuk sekat perdagangan dengan Israel.

"Polisi kedua, Ireland hantar secara langsung bantuan kepada Palestin. Bukan melalui badan bukan kerajaan (NGO), tetapi kerajaan mereka sendiri yang hantar bantuan, hantar jurutera untuk bina loji-loji air, hantar doktor, bukan saja sumbangan kewangan tetapi juga bina infrastruktur.

"Jadi kita tanya diri kita, adakah kerajaan Malaysia ada beri bantuan begitu atau melalui NGO saja? Adakah negeri-negeri Arab lain yang berjiran melakukan demikian?" soalnya.


Sementara itu, Abdul Hadi pula berpendapat, umat Islam perlu mendalami ilmu supaya tidak jahil dan akhirnya digunakan sebagai alat yang menguntungkan Barat.

"Umat Islam sendiri mesti diberikan kesedaran, kefahaman, bukan bunuh saja tak tentu hala. Contoh di Eropah, bunuh orang Islam sendiri, bom masjid, bom sekolah, pasar, kedutaan.

"Mengikut hukum Islam, kedutaan tidak boleh dibom walaupun kedutaan negara musuh. Ini hukum syarak, tetapi mereka tak tahu, jahil agama.

"Mungkin musuh-musuh kita menggunakan kejahilan kita sendiri untuk menimbulkan masalah," katanya.