Qari Perak Anuar Hasin dan Qariah Pahang, Hanimzah Jalaluddin dinobat sebagai johan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-56 yang berlangsung di Dewan Balai Islam Kompleks Islam Darul Naim, Lundang Kelantan.

Mereka membawa pulang sebuah kereta Proton Preve, yang merupakan hadiah tambahan tajaan Tabung Haji pada tahun ini, selain wang tunai RM15,000 beserta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.

Anuar dan Hanimzah akan mewakili negara pada Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 29 Jun hingga 6 Julai ini.

Sementara itu Qari Negeri Sembilan Amirahman Abas muncul Naib Johan manakala tempat ketiga milik Qari Terengganu Mohamad Hafas Ali.

Naib Johan Qariah pula disandang peserta Johor Nor Azrah Ayub manakala tempat ketiga milik Qariah Kedah Marzian Mohd Deli.

Bagi Naib Johan Qari Dan Qariah, masing-masing menerima wang tunai Rm10,000 cenderamata dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga membawa pulang RM7,000 selain cenderamata dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-5.

Seramai 14 Qari dan 15 Qariah memperdengar bacaan masing-masing pada tilawah yang berlangsung lima hari sejak Isnin lepas.