Lebih 5,000 umat Islam membanjiri Dataran Merdeka di ibu negara bagi menjayakan acara kemuncak, Merdeka #QuranHour.

Ia dimulakan dengan Solat Isyak berjemaah yang diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad.

Ia kemudian disusuli dengan takbir Aidiladha yang dipimpin Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Program diteruskan dengan bacaan Surah al-Baqarah ayat 1 hingga 5 dan sesi solidariti ngaji yang memberi peluang setiap orang membaca al-Quran satu muka surat seorang sehingga khatam 30 juzuk dalam masa 5 minit.

Pengunjung acara #QuranHour di Dataran Merdeka disajikan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. - Astro AWANI/Rahimah Abdullah

Acara kemuncaknya ialah solidariti interaksi Surah Yasin yang dipimpin 21 pembawa panji-panji Yasin yang berbeza latar belakang sebagai mesej setiap orang ada peranan masing-masing dalam menjadikan al-Quran sebagai tindakan bersama utk membina dunia berbudi dan penyayang.

Selepas itu, ia diteruskan dengan sesi tadabbur dan tazakkur bagi menghayati intipati Surah Yasin berselang seli dengan bacaan oleh 21 pembawa panji panji yasin.

Turut serta, beberapa artis tanah air termasuk Ameng Spring, Syamsul Ghau Ghau.

#QuranHour diakhiri dengan bacaan Doa untuk Dunia.

#QuranHour yang berlangsung sejak pagi tadi diadakan bersempena dengan Hari Kebangsaan 2017 dan ibadah wukuf di Arafah.