AIRASIA-QZ8501
QZ8501: Tony nafi mengaku pesawat tiada kebenaran terbang

Tony Fernandes tidak pernah mengaku bahawa syarikat itu tidak mempunyai kebenaran untuk terbang laluan Surabaya-Singapura.
Ketua Kumpulan syarikat penerbangan AirAsia, Tony Fernandes berkata beliau tidak pernah mengaku bahawa syarikat itu tidak mempunyai kebenaran untuk terbang di laluan Surabaya-Singapura.
Menurut laporan The Straits Times, Fernandes menerusi satu kenyataan media menegaskan pihaknya mempunyai hak untuk terbang.
“Kami mempunyai hak untuk terbang laluan Surabaya-Singapura. Kami telah terbang mengikut jadual ini dan mempunyai hak untuk tujuh hari seminggu," kata kenyataan itu.
“Kami telah mendapat kedua-dua slot serta kelulusan daripada Indonesia dan Singapura. Apa yang berlaku adalah semata-mata satu kesilapan pentadbiran,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas sebuah portal berita Indonesia melaporkan Menteri Perhubungan Republik Indonesia (KEMENHUB), Ignasius Jonan mendakwa Tony telah mengaku penerbangan itu tidak mendapat kebenaran untuk terbang laluan Surabaya-Singapura.
KEMENHUB sebelum ini telah menggantung buat sementara kebenaran penerbangan AirAsia Indonesia bagi laluan Surabaya- Singapura, sejak 2 Jan.
Tindakan itu diambil kerana AirAsia dikatakan melanggar surat kebenaran Ketua Pengarah Perhubungan Udara republik itu, bertarikh 24 Oktober 2014, yang sebelum ini hanya mengizinkan penerbangan dilakukan pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.
Ia juga susulan siasatan keatas pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang.
QZ8501 membawa 162 penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 28 Disember 2014 jam 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama sebelum dilaporkan hilang.
Penumpang pesawat terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, Korea Selatan (3) dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom.
Krunya pula terdiri daripada enam warga Indonesia dan seorang Perancis.
Sehingga Selasa, 39 mayat telah berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat.
Hari ini, ekor pesawat itu telah ditemui di dalam usaha pencarian pesawat itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami