KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Radzi Jidin menyorot perbezaan pendekatan kerajaan dalam mengendalikan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji berbanding Kertas Putih FELDA yang dibentangkan di Parlimen pada 2019.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, cadangan penubuhan RCI berkaitan Tabung Haji telah dibincangkan oleh Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2020 ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Katanya, selepas mengambil kira pelbagai aspek, Jemaah Menteri kemudiannya meluluskan penubuhan RCI tersebut pada 14 Julai 2021.
“Laporan RCI berkaitan Tabung Haji pula dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 14 Disember 2022 ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
“Jemaah Menteri di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berusaha memperkasa tadbir urus Tabung Haji melalui penubuhan RCI,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Radzi berkata, ramai mempersoalkan mengapa laporan RCI itu hanya didedahkan kepada rakyat beberapa tahun selepas ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Dalam masa sama, beliau membandingkan perkara itu dengan penyediaan Kertas Putih FELDA ketika pentadbiran Pakatan Harapan.
Menurutnya, Kertas Putih FELDA disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, manakala beliau sendiri berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di kementerian berkenaan.
“Saya diberi tanggungjawab membantu memantau penyediaan Kertas Putih FELDA.
“Kertas Putih itu bukan sahaja memperincikan isu-isu dalaman FELDA, malah turut mengandungi laporan forensik bagi lapan pembelian atau pelaburan aset,” katanya.
Beliau berkata, sebaik sahaja dokumen itu siap dan mendapat lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara, ia terus dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019.
Radzi berkata, pendekatan tersebut berbeza dengan pengendalian laporan RCI Tabung Haji yang hanya dibentangkan kepada umum beberapa tahun selepas diserahkan kepada Jemaah Menteri.
“Kesimpulannya, Kertas Putih FELDA dibentangkan segera di Parlimen selepas disiapkan, manakala laporan RCI berkaitan Tabung Haji hanya didedahkan kemudian,” katanya lagi.