Rafizi belum bersalah, boleh kemuka rayuan - Azmin Ali

Harits Asyraf Hasnan
November 14, 2016 06:01 MYT
Mohamed Azmin berkata selagi Rafizi (tengah) tidak membuat rayuan di Mahkamah Rayuan, dia tidak boleh disahkan sebagai bersalah. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan Setiausaha Agung parti itu, Rafizi Ramli belum bersalah dan masih boleh membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini sebagai reaksi berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Ahli Parlimen Pandan itu.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, selagi seseorang itu tidak membuat rayuan di Mahkamah Rayuan, tertuduh tidak boleh disahkan sebagai bersalah.
"Saya percaya pihak peguam akan mengemukakan rayuan atas keputusan tersebut dan itu proses yang dibolehkan untuk Rafizi membela diri beliau. Ini bukan keputusan muktamad, dia boleh gunakan Mahkamah Rayuan bagi menegakkan keadilan dan itu dibenarkan undang-undang.
"Saya yakin Rafizi telah pun kemukakan hujah dan bukti yang cukup jelas di mana apa yang berlaku itu bukan tujuan untuk mendedahkan isu keselamatan negara tetapi ini pengurusan kewangan yang boleh jejaskan ekonomi negara.
"Hukuman itu tidak semestinya Rafizi telah bersalah, Ia bukan keputusan muktamad. Hanya Mahkamah Rayuan yang memuktamadkan keputusan bersalah atau tidak," katanya.
Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Rafizi bagi setiap pertuduhan memiliki dan mendedahkan satu halaman muka surat 98 Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Mac lalu.
Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan Rafizi menjalani hukuman itu secara serentak.
Ditanya, apakah keputusan itu akan melemahkan PKR kerana Rafizi adalah nadi yang menggerakkan parti itu, Mohamed Azmin dengan ringkas menjawab, tidak.
Malah, beliau menaruh keyakinan tinggi Setiausaha Agung PKR itu akan bebas dari pertuduhan berkenaan.
#1MDB #Akta Rahsia Rasmi #Azmin Ali #Menteri Besar Selangor #OSA #Rafizi Ramli