Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Rafizi diminta buat laporan ugutan diterima isteri - Polis

Umavathi Ramayah 14/08/2025 | 10:16 MYT
Shazeli Kahar berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan terhadap ancaman yang didakwa diterima isterinya menerusi dua mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli diminta untuk membuat laporan polis berhubung pendedahan di Parlimen pada Khamis, berhubung ugutan yang diterima isterinya melalui aplikasi WhatsApp.


Ringkasan AI
  • Polis Selangor mengesahkan belum menerima laporan rasmi daripada Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung mesej ugutan yang diterima isterinya melalui WhatsApp, namun siasatan terhadap nombor tidak dikenali itu telah dimulakan.
  • Mesej ugutan diterima dua kali pada hari Khamis daripada nombor yang sama, berbunyi -Diam, kalau teruskan AIDS- dan disertakan ikon picagari, dipercayai berkait dengan insiden suntikan terhadap anak Rafizi.
  • Polis masih berusaha mengenal pasti identiti suspek serangan, namun berdepan kesukaran kerana suspek memakai topi keledar dan visor penuh yang menutup wajah, dan siasatan sedang dijalankan dari pelbagai sudut.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, walaupun begitu, pihaknya sudah memulakan siasatan terhadap ancaman yang didakwa diterima daripada nombor tidak dikenali itu.

"Sehingga petang ini, belum lagi laporan dibuat. Mungkin selepas ini akan ada laporan seterusnya. Polis juga akan menyiasat pemilik nombor telefon terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Khamis.

Terdahulu di Parlimen, Rafizi mendakwa isterinya menerima mesej ugutan menerusi WhatsApp selepas serangan itu.

Menurutnya, mesej itu diterima sebanyak dua kali daripada nombor sama berbunyi, "Diam, kalau teruskan... AIDS'".

Mesej pertama diterima pada pukul 1.12 pagi Khamis, manakala mesej kedua pada 11.02 pagi pada hari sama, disertakan ikon gambar picagari.

Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan insiden suntikan terhadap anak Rafizi, Shazeli berkata pihaknya sedang berusaha mengenal pasti identiti suspek.

Namun beliau mengakui sedikit sukar berikutan lelaki berkenaan memakai topi keledar dan menutup wajah dengan visor.

"Belum dapat ditentukan (kedudukan suspek). Kita melihat dari pelbagai sudut sebab belum ditentukan siapa suspek.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek memakai topi keledar dan menutup visor. Jadi macam mana kita hendak dapat iras muka, melainkan kalau ada maklumat tambahan baharu, insya-Allah kita akan usahakan,” ujarnya.



#Rafizi Ramli #serangan ke atas anak #Polis Diraja Malaysia #suntikan