MALAYSIA
Rafizi gembira 95% perancangan asal kekal dalam RMK13

Rafizi berkata, berdasarkan ringkasan eksekutif, sebanyak 95 peratus daripada dasar dan inisiatif yang dirangka sepanjang perkhidmatannya telah dikekalkan. - Gambar fail
SHAH ALAM : Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli meluahkan rasa gembira apabila hampir keseluruhan perancangan yang dirangka pasukannya sejak November 2022 kekal dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan hari ini.
Ringkasan AI
- Rafizi menyatakan rasa puas hati apabila 95% perancangan Kementerian Ekonomi sejak November 2022 kekal dalam dokumen RMK13, termasuk reformasi pendidikan, struktur ekonomi, isu penuaan negara dan pembangunan sektor ketiga.
- Inisiatif utama seperti NETR, KL20, JSSEZ, -Made by Malaysia-, peralihan kepada ekonomi berasaskan penggunaan serta pembangunan teknologi CCUS diteruskan, termasuk cadangan Akta ILTIZAM dan pengharaman amalan Ali Baba yang pernah ditentang.
- Beliau menzahirkan penghargaan kepada pasukan RMK13 yang berjaya menyempurnakan dokumen dalam tempoh 20 bulan walaupun berdepan cabaran politik, dan menyeru agar pelaksanaan dasar diberi keutamaan tanpa mengira siapa yang memerintah.
Antara inisiatif utama yang masih tertera dalam dokumen RMK13 ialah kerangka NETR, KL20, JSSEZ, “Made by Malaysia”, peralihan kepada ekonomi berasaskan “consumption powerhouse”, serta pembangunan inisiatif CCUS.
Rafizi turut menyambut baik penerusan dasar-dasar kontroversi yang pernah mendapat tentangan sebelum ini, termasuk cadangan Akta ILTIZAM (bagi menangani kerenah birokrasi) dan akta mengharamkan amalan ‘Ali Baba’.
Katanya, beliau akan memberi ulasan lanjut mengenai kandungan penuh RMK13 dalam sidang perbahasan Parlimen minggu depan, serta menerusi episod khas Podcast YBM pada 8 Ogos ini bersama pakar ekonomi, Dr Muhammad Khalid.
“Selesailah satu tanggungjawab besar yang saya dan rakan-rakan Kementerian Ekonomi pikul sejak November 2022 – merangka masa depan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang terlibat, termasuk pasukan RMK13, yang menurutnya bekerja keras menyempurnakan dokumen tersebut dalam tempoh 20 bulan meskipun berdepan cabaran politik.
“Alhamdulillah, akhirnya ura-ura rombakan hanya kekal sebagai reaksi politik. Kepimpinan kementerian berjaya memastikan perancangan jangka panjang negara tidak dicampur aduk dengan hiruk-pikuk politik,” jelasnya.
Rafizi turut menyeru supaya tumpuan kini diberi kepada pelaksanaan dasar-dasar yang telah dirangka, tanpa mengira siapa yang memegang tampuk pemerintahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami