Rafizi lancar FlexiMart, tawar peluang niaga untuk anak muda, B40

Menurut Rafizi model itu turut memberi peluang kepada anak muda untuk belajar berniaga sambil memperoleh gaji asas dan bahagian keuntungan berdasarkan prestasi perniagaan. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, hari ini melancarkan FlexiMart, sebuah kedai serbaneka berkonsep perusahaan sosial yang menumpukan kepada jualan makanan dan barangan harian pada harga mampu milik.
Ringkasan AI
- Rafizi Ramli melancarkan kedai serbaneka berkonsep perusahaan sosial untuk jualan makanan dan barangan harian pada harga mampu milik.
- Konsep ini membolehkan anak muda dan keluarga B40 memulakan perniagaan dengan kos permulaan sekitar RM150,000, sambil berkongsi risiko dan keuntungan.
- FlexiMart akan diuji selama 23 bulan sebelum diperluas; ia juga kesinambungan daripada Program IPR yang pernah membantu keluarga B40 menjana pendapatan sehingga RM7,000 sebulan.
“Tetapi melalui model perusahaan sosial ini, kami menggunakan pendekatan perkongsian musyarakah, di mana rakan kongsi bersama-sama berkongsi risiko serta potensi keuntungan.
“Dengan cara ini, kos permulaan dapat dikurangkan kepada sekitar RM150,000 termasuk semua ubah suai,” demikian katanya semasa ditemui pemberita di sini.
Beliau menjelaskan bahawa model itu turut memberi peluang kepada anak muda untuk belajar berniaga sambil memperoleh gaji asas dan bahagian keuntungan berdasarkan prestasi perniagaan.
Tambahnya, kebanyakan golongan muda yang berumur antara 25 hingga 27 tahun kini hanya bergantung kepada pekerjaan makan gaji dengan pendapatan median sekitar RM2,300 hingga RM2,500 sebulan.
“Dalam model ini, tiga orang rakan operasi akan menjadi pemilik bersama. Mereka menerima gaji asas lebih RM2,000, dan selepas menolak semua kos, keuntungan bersih akan dibahagi semula.
"Jadi apabila mereka rasa seperti pemilik sebenar, mereka akan bekerja lebih kuat, kerana semakin baik prestasi, semakin tinggi pendapatan mereka,” katanya.
Rafizi turut menjelaskan bahawa FlexiMart menumpukan kepada jualan makanan dan minuman berkualiti pada harga berpatutan, bagi mencabar trend harga pasaran yang semakin meningkat.
“Sekarang ini secawan kopi boleh mencecah RM14 hingga RM15 dan kita sudah menganggapnya normal sedangkan kos sebenar secawan Americano hanya sekitar RM3. Kami jual pada harga RM4, manakala latte RM5 hingga RM6 pun masih ada margin keuntungan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan ini juga merupakan kesinambungan daripada Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi sebelum ini, yang memberi peluang kepada keluarga B40 berniaga makanan melalui mesin layan diri.
“Semasa di kementerian dulu, kami telah mencuba konsep ini. Keluarga B40 hanya perlu memasak di rumah dan menghantar makanan ke mesin layan diri tanpa perlu menggaji pekerja atau menyewa kedai.
Ada peserta mampu menjual 150 pek sehari dengan harga RM5 setiap satu, meraih jualan RM700 hingga RM800 sehari, dan selepas ditolak kos, mereka boleh membawa pulang sekitar RM6,000 hingga RM7,000 sebulan,” katanya.
Menurut Rafizi, tempoh tiga bulan pertama akan digunakan untuk menilai prestasi kewangan dan sambutan pelanggan sebelum model ini diperluas ke lokasi lain.
“Kita perlu uji dahulu dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Jika model ini terbukti menguntungkan dan mampan, serta dapat memberi pulangan kepada rakan kongsi dan pengusaha, barulah kita kembangkan.
“Ramai sudah bertanya mahu menyertai, tetapi saya minta tunggu dahulu, kalau tidak nanti orang kata skim penipuan. Kita nak pastikan ia betul-betul berfungsi dahulu,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


