Wujud ketidakseimbangan antara kuasa kabinet dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Untuk itu, calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mendakwa perkara itu berkata, beliau komited memperbaiki keadaan itu sekiranya terpilih memegang portfolio berkenaan.

"Saya perhatikan selepas Pilihanraya Umum Ke-14, tumpuan lebih diberikan kepada kabinet dan banyak keputusan dibuat di kabinet, hingga menyukarkan parti dalam PH untuk melaksana mandat yang diberikan rakyat," katanya ketika ditemubual Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron, dalam program 100 Hari Malaysia Baharu, pada Rabu.

Tambah Rafizi, kelantangan dan sifat berterus-terang beliau dalam Majlis Presiden, boleh membantu jemaah menteri dalam membuat keputusan, agar tidak menyimpang jauh daripada komitmen dan objektif utama PH.


Mengulas lanjut, Rafizi memaklumkan, beliau tidak berminat untuk menerima sebarang jawatan dalam kerajaan atas beberapa sebab, salah satunya untuk memberikan keutamaan kepada keluarga.

Namun sekiranya terpilih sebagai Timbalan Presiden PKR, beliau memegang mandat daripada ahli PKR untuk bersuara dalam Majlis Presiden PH.

Ia secara tidak langsung, membolehkan peranan kabinet dan Majlis Presiden PH diseimbangkan.