KUALA LUMPUR: Ahli akademik dan Presiden Persatuan Penyair Malaysia (Penyair), Datuk Rahman Shaari dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin dalam sidang media pada Rabu.

“Anugerah ini dikurniakan oleh Kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam Bahasa Melayu dan telah memberi sumbangan cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

“Sebanyak 12 nama dihantar oleh persatuan, institusi, individu berwibawa manakala tiga calon disenarai pendek oleh sembilan panel yang menilai.

"Pemilihan beliau adalah berdasarkan kepada sumbangan tokoh melalui karya dan pemikiran, sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera, impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pengiktirafan yang diterimanya," kata beliau.

Sebagai penghargaan kepada Rahman, beliau akan diberikan Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000, penerbitan 50,000 naskhah buku atau nilai buku berjumlah RM500,000 untuk dibeli kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau juga akan diberikan kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera, selain elaun sara hidup.

Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-15 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri’ayatuddin Billah Shah pada suatu tarikh yang dimaklumkan oleh pihak Istana Negara.

Rahman dilahirkan di Kampung Gial, Perlis pada tahun 1949 dan mendapat pendidikan awal di Kangar sebelum ke Sekolah Alam Shah dalam aliran Sains.

Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan berkursus di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, sebelum menjadi guru dari tahun 1977 hingga 1979.

Pernah berkhidmat di Kementerian Pendidikan sebagai Pegawai Kurikulum, beliau kemudian menyandang jawatan Profesor di Universiti Malaya pada 2003 dan kini beliau merupakan Presiden Penyair.

Pada 1991, beliau terpilih mengikuti program penulisan Antarabangsa di Universiti Iowa, Amerika Syarikat.

Antara anugerah yang pernah dimenanginya ialah S.E.A. Write Award (2007), Hadiah Sastera Malaysia kategori puisi (1976, 1982 dan 1986) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2003).

Bidang penulisan utama Rahman ialah puisi, namun turut juga menghasilkan novel, cerpen, kritikan sastera, analisis bahasa, dan skrip drama.