FILEM Sheriff terus melakar sejarahnya dalam industri perfileman negara dengan meraih kutipan RM35.3 juta dalam tempoh 11 hari tayangan rasmi, sekali gus menjadikan filem terbitan Skop Productions dan Astro Shaw itu filem nombor satu kutipan tertinggi bagi tahun 2024 di Malaysia.

Kejayaan ini menyaksikan Sheriff mengetepikan filem besar antarabangsa dan terus mendominasi carta kutipan tahun ini.

Pengarah, Cerita Asal dan Lakon Layar filem Sheriff, Syafiq Yusof berkata: “Alhamdullilah, Sheriff masih mendapat sambutan menggalakkan di pawagam meskipun telah memasuki hari ke-11.

"Saya ingin ambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton yang menerima Sheriff, serta pihak media dan pihak pemamer yang banyak memberi sokongan pada Sheriff sejak mula lagi sehingga filem ini berjaya menjadi filem nombor satu kutipan tertinggi tahun ini," katanya.


Sinopsis:

Sheriff menampilkan watak Nazri (Syafiq Kyle) iaitu seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.

Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas dari cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.

Dalam masa yang sama, Sheriff (Zul Ariffin), seorang anggota daripada Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes 'Meth Killer' dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan. -Gempak