Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan Tun Dr Lim Keng Yaik bukan sahaja pemimpin yang berani bersuara tetapi juga tegas dalam pandangannya.
Beliau juga menggambarkan bekas presiden Gerakan itu sebagai pemimpin negara yang berjiwa 1Malaysia.

"Jasa dan sumbangan beliau kepada kerajaan dan parti akan sentiasa dikenang. Antara sumbangan mendiang ialah mewujudkan akta pentadbiran air di negara ini, ketika beliau menerajui Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, selain di bidang perusahaan utama serta meningkatkan pencapaian ulung dalam industri komunikasi," katanya.

Menurut Rais yang ditemui pemberita di kediaman mendiang di Damansara semalam, sifat mendiang yang jelas fikiran serta tidak takut menghadapi sesiapa sahaja sangat dihargainya.

Dr Lim meninggal dunia pada hari Sabtu pada usia 73 tahun. Beliau meninggalkan isteri Toh Puan Wong Yoon Chuan dan tiga anak.

"Mendiang mungkin kritis terhadap apa-apa isu atau seseorang, tetapi beliau tidak menyimpan di hati. Cara celoteh beliau akan menghilangkan sentimen negatif," kata Rais.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga Presiden Gerakan, berkata mendiang paling diingati berdasarkan sumbangannya dalam industri sawit dan balak ketika berkhidmat sebagai Menteri Perusahaan Utama.

Beliau mengimbas semula keberanian Dr Lim berhujah dengan pengeluar kacang soya utama di Amerika Syarikat ketika negara itu mengharamkan import minyak sawit dari Malaysia selepas dilobi industri kacang soya.

"Keng Yaik juga memainkan peranan penting dalam 'memujuk' Eropah mengimport balak Malaysia. Beliau seorang pemimpin hebat bukan hanya kepada Gerakan dan Barisan Nasional, tetapi juga negara," kata Koh.

"Bagi anggota Gerakan, kami akan ingati segala ajaran beliau selama ini dan kami akan terus mengamalkan semangat berjuang mendiang. Komitmen beliau kepada parti dan negara akan kami contohi," katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pula berkata nilai perjuangan dan kepimpinan mendiang sedikit sebanyak mewarnai cara berpolitik beliau.

"Kita tidak boleh lupa pengorbanan mendiang kepada negara kita. Oleh itu, saya telah memberitahu isteri Toh Puan dan keluarga bahawa apa sahaja keperluan keluarga itu, kita tetap bersama," katanya yang menyifatkan Dr Lim sebagai seorang pemimpin yang jujur dan berani.

Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berkata kematian Dr Lim adalah kehilangan besar kepada negara dan rakyat Malaysia.

"Tun Lim rapat dengan saya ketika saya masih menjadi wartawan sehinggalah saya menjadi timbalan menteri. Beliau seorang yang vokal dan bersemangat serta merupakan pengasas kepada pembinaan kompleks ibu pejabat Gerakan. Ini merupakan saat paling menyedihkan kepada negara," katanya menerusi sistem pesanan ringkas.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan isteri Tun Dr Siti Hasmah, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok.