KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim hari ini memaklumkan secara rasmi kepada kerajaan supaya anggota Dewan Negara disertakan dalam senarai barisan hadapan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata surat itu telah diserahkan kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, pagi tadi.

"Surat itu (bertujuan) menanyakan mengapa senator yakni anggota Dewan Rakyat tidak dimasukkan dalam senarai penerima utama (vaksin), bersama dengan penggubal undang-undang yang lain seperti anggota Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Saya telah mengingatkan mereka supaya mengembalikan hak legislatif kepada para senator seramai 66 orang itu...saya bertindak sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dan hal ini hanya dapat diselesaikan oleh Khairy dan Dr Adham," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semakan di laman web JKJAV https://www.vaksincovid.gov.my/ berkenaan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mendapati Ahli Dewan Negara tidak disenaraikan bersama ahli Dewan Rakyat dan ADUN.

Garis panduan itu menyatakan definisi umum petugas barisan hadapan sebagai anggota berisiko tinggi mendapat dan menyebarkan COVID-19 iaitu yang terdedah secara langsung kepada individu yang dijangkiti, individu berisiko tinggi dijangkiti, sampel pesakit atau persekitaran yang berpotensi menjadi punca jangkitan.

Dokumen itu meletakkan petugas barisan hadapan kepada dua kategori iaitu Kategori 1 bagi anggota yang terlibat secara langsung dalam penjagaan rawatan dan kesihatan manakala, Kategori 2 bagi anggota yang terlibat dalam sektor kesihatan, agensi pertahanan, anggota keselamatan dan perkhidmatan penting.

Dokumen bertarikh 1 Mac yang ditandatangani dua pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) iaitu Adham dan Khairy, turut memaklumkan sebarang pindaan kepada garis panduan itu adalah tertakluk kepada keputusan dan ketetapan JKJAV.

-- BERNAMA