KINI setiap mata tertumpu kepada raja-raja. Khalayak umumnya menunggu perkhabaran mengenai apa akan dititahkan Yang di-Pertuan Agong selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung.

Antara persoalan ditunggu jawapannya adalah adakah raja-raja secara muafakat dapat mencadangkan dan sekali gus menyelesaikan kemelut semasa. Jelas sekali, situasi semasa amat mencabar bagi negara, sama ada dari segi kesihatan awam atau kestabilan politik.

Keadaan ini memaksa banyak pihak, termasuk raja-raja secara langsung memainkan peranan. Dalam perkembangan terbaru, Yang di-Pertuan Agong perkenan menerima menghadap wakil parti politik bermula 9 hingga 11 Jun lalu, manakala esok raja-raja Melayu pula dijangka akan mengadakan perbincangan khas.

Pembabitan raja-raja dalam hal ehwal negara, sama ada pada peringkat negeri atau Persekutuan, adalah satu keperluan. Ia bukan bermaksud membenarkan raja-raja terbabit dalam hal ehwal politik kepartian, tetapi kerana keadaan terkesan ke atas rakyat dan negeri raja-raja sendiri.

Keadaan darurat, tiada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), keupayaan kerajaan pada peringkat Persekutuan atau negeri dalam mendepani cabaran semasa dan kedudukan ekonomi negara adalah secara langsung berkaitan dengan rakyat.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang akan berlangsung bukan Persidangan Majlis Raja-Raja yang lazim menurut Perkara 38 atau Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah sama seperti dua mesyuarat khas sebelum ini, iaitu pada akhir Februari dan akhir Oktober tahun lalu.

Masing-masing berlaku sebelum lantikan Perdana Menteri dan sebelum Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan untuk tidak memperkenan pengisytiharan darurat sebagaimana cadangan kerajaan.

Oleh kerana Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini bukan atas sifat Persidangan Majlis Raja-Raja, maka soal Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan tidak perlu timbul. Tidak timbul soal raja-raja akan membincangkan dasar negara atau raja-raja perlu diiringi Menteri Besar masing-masing.

Ini kelaziman dalam amalan raja-raja dari dahulu hingga sekarang, yang mengutamakan musyawarah atau perbincangan bagi mencapai kata sepakat. Bak kata pepatah, muafakat membawa berkat.

Sebagai negara Persekutuan, Malaysia dibentuk atas persetujuan negeri diwakili raja-raja. Maka setiap raja di negeri mempunyai hak, bukan sahaja dari segi budaya dan sosial amalan sistem beraja, bahkan juga undang-undang meletakkan kedaulatan baginda masing-masing.

Adalah jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa raja-raja, setiap seorang baginda mempunyai kedaulatan (Perkara 70 dan Perkara 181).

Walaupun beberapa perkara dalam Perlembagaan meletakkan tanggungjawab hanya kepada Yang di-Pertuan Agong, Perlembagaan tidak menghalang baginda untuk mendapatkan pandangan daripada mana-mana pihak, asalkan keputusan terakhir adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong sendiri sebagaimana dinyatakan dalam undang-undang.

Prinsip Raja berperlembagaan bukan penghalang. Lebih-lebih lagi apabila takhta Yang di-Pertuan Agong adalah secara bergilir antara raja-raja.

Sesungguhnya cabaran dilalui raja-raja pada kali ini bukan mudah. Keadaannya luar biasa, lebih-lebih lagi apabila penggunaan media sosial ibarat tidak terkawal.

Walaupun begitu, sekiranya kita lihat sejarah cabaran dilalui raja-raja, terutama ketika mendepani imperialisme kuasa barat dan pendudukan Jepun, kebijaksanaan raja-raja melangkau segala cabaran. Sehingga kini raja-raja tetap dekat di hati rakyat dan relevan dalam pentadbiran negara walaupun diungkap sebagai Raja berperlembagaan.

Raja berperlembagaan sering ditafsir dalam pelbagai dimensi, termasuk dimensi sejarah, sosial, budaya dan politik. Dimensi ini perlu dilihat secara keseluruhan dalam menekuni pembabitan raja-raja dalam hal ehwal keadaan semasa.

Kita tidak harus terikat dalam kesempitan tafsiran kaku Raja berperlembagaan kepada dimensi perundangan semata-mata. Undang-undang, terutama Perlembagaan, perlu dilihat gabung jalinnya dengan kedudukan atau peranan sosial raja-raja.

Di samping peruntukan nyata dan sistem beraja digelar sebagai Raja berperlembagaan, terdapat intipati tersirat dalam amalan sistem beraja di Malaysia. Tidak semua panduan secara legalistik atau atur huruf perundangan ditafsir secara hitam putih di atas kertas, terutama apabila membabitkan Perlembagaan.

Perlembagaan tidak seperti undang-undang jenayah perlukan perincian nyata. Tidak semua perkara ada perincian dalam dokumen dinamakan Perlembagaan itu. Sebagai contoh, Perlembagaan tidak menyatakan perincian mengenai tindakan perlu diambil Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan bagaimana baginda mencapai keputusan 'berpuas hati' pada peruntukan Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga perincian tindakan Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan 'pada hemat' baginda seseorang mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Perlembagaan juga tidak menyatakan siapa harus meminta pembubaran Parlimen. Hanya amalan Perlembagaan menentukan Perdana Menteri meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Justeru, raja-raja perlu memberikan perhatian kepada hal ehwal kenegaraan, bukan hal ehwal politik kepartian. Dalam situasi ini, rakyat perlu sedar mengenai aspek kenegaraan yang menjadi amanah digalas raja-raja, bukan sekadar memenangkan mana-mana pihak dalam dimensi politik kepartian.

Adakah raja-raja mampu melalui cabaran kali ini? Rakyat sesungguhnya meletakkan kepercayaan amat tinggi bahawa dengan kebijaksanaan dan kebestarian raja-raja secara kolektif dapat memberikan panduan kepada kerajaan dan rakyat.

Apa yang penting kini ialah baginda semua secara muafakat berteguh janji demi kesejahteraan rakyat dan negara.



*Prof Datuk Shamrahayu Ab Aziz adalah pakar perlembagaan dan Penyandang Kursi Institutsi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.