Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin menyatakan bahawa firma yang ditubuhkan oleh bapanya pada enam tahun lalu tidak menjalankan sebarang pelaburan luar pesisir.

Raja Nong Chik mengeluarkan kenyataannya berikutan satu laporan berita dari portal berita Malaysiakini yang mendakwa RZA International Corporation telah ditubuhkan oleh beliau, bapa dan keluarganya.

Malaysiakini turut menambah dalam laporan beritanya itu bahawa Raja Nong Chik gagal dalam menjelaskan mengenai pelaburan luar pesisir yang dibuat oleh keluarganya apabila portal berita itu bertanya kepadanya.

“Pada 29 Mac, 2013, Malaysiakini telah mengirimkan e-mel bertanyakan beberapa soalan berkenaan dengan RZA International Corporation. Saya telah membalas kiriman e-mel tersebut pada 2 April, 2013 dengan memberi jawapan yang jelas dengan menjelaskan bahawa RZA International Corporation telah ditubuhkan oleh bapa saya, Raja Zainal Abidin Raja Haji Tachik pada 21 Ogos, 2007,” jelas Nong Chik.

“Saya juga menjelaskan bahawa firma itu telah ditubuhkan oleh bapa saya sendiri dengan tujuan untuk melakukan pelaburan luar pesisir yang sah untuk keluarganya dan firma itu kemudiannya ditutup setelah ianya tidak menjalankan sebarang pelaburan luar pesisir,” beliau berkata.

“Meskipun saya telah menjelaskan kesemuanya kepada mereka, Malaysiakini telah memutar belitkan segala fakta yang diberi,” katanya melalui satu kenyataan media.

Raja Nong Chik berkata beliau mengeluarkan kenyataan berkenaan kerana untuk membuktikan perkara sebenar.

“Saya tidak boleh menerima dan membiarkan Malaysiakini memburuk dan mencemarkan nama baik bapa saya dengan gambaran penglibatan bapa saya dengan “wang haram”, “pengelakan cukai” dan “transaksi tidak sah”. Kesemua gambaran dan tuduhan ini dilemparkan demi untuk memberikan kelebihan kepada calon mereka dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya lagi.

“Demi untuk mendapatkan kelebihan politik, Malaysiakini tergamak memutarbelit fakta terhadap segala jawapan balas yang saya berikan dalam pelaporan mereka dan ini menunjukkan sikap mereka yang tidak beretika dan berniat jahat,” Nong Chik berkata.

“Untuk rekod, saya tidak pernah menjadi pengarah atau pemegang saham untuk mana-mana syarikat luar pesisir yang lain,” jelas beliau lagi.