KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor telah menguasai suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mempunyai kawalan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Dalam penghakiman setebal 116 halaman, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata adalah jelas daripada rakaman audio itu bahawa tertuduh memberi arahan kepada Najib berhubung urusan kerajaan.

Beliau merujuk kepada klip audio "Can I advise you something" antara Najib dan Rosmah yang tular sebelum ini.

"Dalam pernyataan saksinya, tertuduh tidak menafikan bahawa suara dalam rakaman audio itu adalah milik beliau dan Najib. Tidak kurang daripada tiga saksi iaitu Datuk Rizal Mansor (bekas pembantu Rosmah), bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Madinah Mohamed, secara positif telah mengenal pasti suara dalam rakaman itu adalah milik Najib serta tertuduh.

"Mereka sudah biasa mendengar suara Najib dan tertuduh. Saya tidak meragui bahawa mereka adalah betul. Tertuduh telah cuba untuk meremehkan perbualan itu dengan mengaitkannya kepada perbincangan biasa di antara suami dan isteri. Bagaimanapun, ia bukanlah perbualan biasa antara pasangan suami isteri kerana ia membabitkan urusan kerajaan," katanya.

Kes Rasuah Solar | Rosmah terkejut dan sedih - Peguam

[LAPOR LANGSUNG] Kes rasuah solar: Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970 juta

Mohamed Zaini berkata nada suara tertuduh juga bersifat memerintah dan bercanggah dengan dakwaannya bahawa beliau mematuhi larangan Najib untuk tidak mencampuri urusan kerajaan.

"Saya menyatakan perkara ini dengan penuh rasa hormat namun adalah jelas bahawa tertuduh menguasai Najib. Beliau mempunyai kawalan ke atasnya. Beliau tidak berhak untuk campur tangan dalam tugas Najib atau urusan kerajaan, tetapi beliau telah melakukannya," kata hakim itu.

Beliau juga berkata Rizal bercakap benar apabila menyatakan bahawa tertuduh mempunyai sikap suka menguasai orang lain dan berupaya mempengaruhi keputusan dalam perkhidmatan awam kerana sudah lama bekerja dengannya serta mungkin telah menyaksikan sendiri perkara ini.

"Hakikat bahawa individu seperti Mahdzir, Madinah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad tidak pernah mempersoal sebarang pertanyaan atau arahan daripada tertuduh atau Rizal menambahkan keyakinan terhadap faktor ini. Tertuduh bukanlah orang yang boleh diambil kesempatan oleh Rizal.

"Beliau memiliki perwatakan yang keras dan tidak akan teragak-agak untuk menegur sesiapa sahaja. Ia juga terbukti semasa perbicaraan apabila beliau tidak gentar ketika disoal balas oleh timbalan pendakwa raya yang bijaksana, yang saya rasakan bukan suatu perkara yang boleh dipandang enteng berdasarkan kewibawaannya," katanya.

Mohamed Zaini juga berkata pembelaan Rosmah bahawa beliau tidak pernah campur tangan dalam mana-mana projek kerajaan hanyalah hearsay kerana Najib tidak memberi keterangan di mahkamah.

Beliau berkata tertuduh dengan tegas menafikan telah campur tangan dalam mana-mana projek kerajaan terutama projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

"Beliau berkata Najib telah mengingatkannya agar tidak terlibat dengan mana-mana kontraktor dan beliau harus taat sebagai isterinya.

"Tertuduh berkata beliau takut Najib marah dan tidak akan sesekali cuba mempengaruhinya apatah lagi memaksa atau menasihati beliau berhubung urusan kerajaan," katanya.

Hakim itu berkata semua kenyataan yang dikaitkan dengan Najib adalah bersifat hearsay dan tidak boleh diterima sebagai bukti kerana Najib tidak memberi keterangan dan hanya beliau sahaja yang boleh mengesahkan apa yang didakwa oleh tertuduh.

Mohamed Zaini juga berkata beliau mengakui bahawa Datuk Aazmey (Setiausaha UMNO Pekan Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib) telah memainkan peranan penting dalam mendapatkan minit mesyuarat daripada Najib untuk kepentingan Jepak Holdings Sdn Bhd namun fakta itu turut membuktikan bahawa tertuduh turut memainkan peranan yang penting.

"Sebagai contoh, tertuduh telah memberitahu Madinah "You tengok sikit projek solar Jepak. Cepatkan sikit" pada satu majlis Permata. Tiada sebab untuk Madinah mengada-adakan cerita untuk mengaitkan tertuduh. Apa motif beliau? Jika ada, perkara ini tidak pernah dikemukakan kepada beliau," katanya.

Hakim itu juga berkata Rosmah mendakwa Mahdzir dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad mempunyai kepentingan dalam projek itu dan mereka telah melemparkan fitnah terhadapnya untuk melindungi salah laku mereka.

Katanya beliau tidak menemui bukti yang boleh dipercayai bagi membuktikan Mahdzir atau Alias telah cuba mengaut keuntungan daripada projek itu dan terdapat juga banyak tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka semasa soal balas, terutamanya Mahdzir.

"Berdasarkan pemerhatian saya, Mahdzir dengan tegas telah menafikan semua tuduhan itu. Beliau tidak pernah menunjukkan sebarang tanda gugup atau bimbang dalam menyangkal tuduhan negatif yang dilemparkan semasa sesi soal balas," katanya.

Mohamed Zaini berkata pada pandangan beliau, Mahdzir cuba melakukan perkara yang betul.

"Memandangkan Saidi Abang Samsudin, ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings, adalah kawan rapat (Mahdzir), beliau boleh sahaja mendapatkan manfaat untuk Jepak dengan mudah.

"Keterangan menunjukkan bahawa Mahdzir mahu Jepak melalui proses yang sepatutnya. Beliau tidak mahu jalan pintas diambil berkaitan prosedur Kementerian Pendidikan. Malah beliau cuba memujuk Najib sebanyak dua kali secara peribadi," katanya.

Hakim itu berkata pada kali pertama, Mahdzir cuba meyakinkan Najib menggunakan tender terbuka bagi projek tersebut dan bukan melalui rundingan terus dengan Jepak.

"Najib bertegas dan menyuruh beliau melaksanakan arahannya. Pada kesempatan kedua, Mahdzir menasihati Najib untuk menangguhkan pengeluaran surat penganugerahan kontrak kepada Jepak kerana syarikat itu tidak memenuhi kebanyakan syarat kementerian itu," katanya.

Beliau berkata Mahdzir juga mengadu kepada Najib berkaitan gangguan berterusan Saidi dan rakan niaganya Rayyan Radzwill Abdullah serta sikap tidak hormat mereka kepadanya sebagai seorang Menteri.

"Bagaimanapun, Najib sekali lagi tidak mengendahkan rayuannya dan mengarahkan beliau agar mengikut arahannya. Sungguh menakjubkan bahawa kontrak bernilai RM1.25 bilion boleh diberikan hanya dengan mencatat minit tanpa melalui prosedur sewajarnya yang diharap dapat berfungsi sebagai semak dan imbang," katanya.

Mohamed Zaini juga berkata terdapat dua insiden yang begitu menonjol dan membuktikan terdapat campur tangan aktif daripada tertuduh dalam projek itu.

"Pertama, terdapat insiden yang menyaksikan Datuk Othman Semali daripada Kementerian Kewangan memarahi Datuk Rizal Mansor, pada masa itu adalah pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri dan Saidi ketika mereka datang berjumpa beliau dengan membawa surat mengandungi minit yang menyatakan persetujuan Najib agar Kementerian Pendidikan berunding terus dengan Jepak.

"Ketika memarahi kedua-dua individu, Othman memberitahu mereka bahawa beliau berkhidmat untuk orang ramai dan bukannya ahli politik. Apabila mereka mengadu kepada Rizal, beliau memaklumkan perkara itu kepada tertuduh yang kemudiannya memberitahu Rizal: "Aku dah cakap dengan laki aku dah." Beberapa hari kemudian, kelulusan daripada Kementerian Kewangan dikeluarkan," katanya.

Hakim itu berkata kali kedua adalah apabila Saidi dan Rayyan mempunyai masalah dengan klausa 11 dalam surat penganugerahan kontrak itu yang menyaksikan Mahdzir tidak melayan mereka ketika mereka datang berjumpa dengan beliau serta meminta agar klausa itu dikeluarkan.

"Perkara itu berubah apabila Saidi menghubungi Rizal dan menyerahkan telefon kepada Mahdzir. Rizal memberitahu Mahdzir untuk melakukannya dan mengingatkan beliau bahawa "Mem" iaitu tertuduh prihatin dengan projek itu. Perkara itu sudah memadai untuk memaksa Mahdzir mengarahkan para pegawainya untuk mengeluarkan klausa 11.

"Insiden ini berlaku selepas Mahdzir berjumpa Najib sebanyak dua kali. Adalah jelas kepada Mahdzir bahawa tertuduh berada dalam kumpulan "Jepak." Beliau tidak silap," katanya.

-- BERNAMA