Skip to main content

Malaysia

Rakan Muda capai 3.96 juta penyertaan, lepasi sasaran 25 peratus

Mohammed Taufiq Johari [JaPen]
Dr Mohammed Taufiq berkata, pencapaian itu menunjukkan program yang diperkenalkan semula tiga tahun lalu mendapat capaian meluas dalam kalangan belia.

KUALA LUMPUR: Kadar pembabitan belia dalam program Rakan Muda pada tahun lalu mencecah 41.26 peratus bersamaan 3.96 juta individu, sekali gus melepasi sasaran awal 25 peratus atau 2.42 juta orang daripada keseluruhan 9.66 juta populasi belia di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata pencapaian itu menunjukkan program yang diperkenalkan semula tiga tahun lalu mendapat capaian meluas dalam kalangan belia.

Advertisement

Bagaimanapun, beliau menegaskan penilaian program pada tahun ini tidak lagi hanya tertumpu kepada angka penyertaan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada aspek kualiti dan keberhasilan.

"Saya mengarahkan kementerian supaya tidak hanya menilai dari sudut kuantiti, tetapi turut mengukur impak dan keberhasilan program.

"Ia bukan sekadar berapa ramai yang menyertai, tetapi apakah kesan dan pembangunan yang terhasil kepada belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai pencapaian terkini Rakan Muda 2025 termasuk output dan impaknya kepada belia hasil peruntukan RM20 juta, serta sama ada pendekatan penganjuran akan ditambah baik agar berteraskan pembinaan sahsiah dan kemahiran, bukan hedonisme.

Selain itu kata Dr Mohammed Taufiq, peruntukan tambahan RM40 juta bagi memperkukuh 10 gaya hidup Rakan Muda mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap keberkesanan pelaksanaan program itu tahun lalu, termasuk pengurusan peruntukan RM20 juta yang dilaksanakan secara berhemah dan berfokus kepada impak pembangunan belia.

Pada masa sama, beliau memaklumkan kementerian turut meningkatkan julat usia penyertaan Rakan Muda bermula tahun ini, iaitu daripada 15 tahun hingga sebelum mencapai usia 30 tahun, berbanding had maksimum 25 tahun sebelum ini.

Langkah itu, katanya, bertujuan memperluas penyertaan serta memastikan lebih ramai belia mendapat manfaat daripada program pembangunan yang ditawarkan.

Must Watch Video