MALAYSIA
Rakyat anggap janji lama tertunai, harap bukan sekadar ‘pengumuman bermusim’

Pelanggan di sebuah restoran nasi kandar menonton pengumuman khas Anwar ketika tinjauan Astro AWANI di Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menawarkan beberapa bentuk bantuan dan insentif kewangan menerima pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.
Tinjauan Astro AWANI di ibu negara mendapati, sebahagian rakyat melihat langkah itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap tekanan ekonomi semasa, namun ada juga berpendapat, inisiatif tersebut kurang menyeluruh untuk menangani kos sara hidup yang semakin meruncing.

Yusrizal Yusop
“Satu-satunya yang saya rasa baik mengenai pengumuman ini ialah penurunan harga minyak dari RM2.05 kepada RM1.99, itu langkah tepat tapi yang lain saya rasa biasa sahaja. Bagi saya kita patut fokus kepada perkara yang lebih utama seperti turunkan harga barang sebab itu hal utama rakyat terbeban, namun penurunan harga minyak ini juga berkait, tidak dinafikan.“Jika diaudit mungkin tidak nampak banyak enam sen itu tetapi kalau dihitung, rakyat sebenarnya untung sebab banyak penjimatan,” kata Yusrizal Yusop kepada Astro AWANI pada Rabu.
Beliau yang merupakan pengusaha kilang tekstil bagaimanapun berpandangan, langkah kerajaan itu akan lebih berkesan sekiranya ia disalurkan secara bersasar terutama kepada golongan kumpulan rentan.

Razman Abdullah
Seorang pekerja swasta, Razman Abdullah pula menyambut baik pengumuman penurunan harga petrol RON95 dan cuti umum, namun menganggap bantuan RM100 masih kecil jika dibandingkan dengan kenaikan kos sara hidup hari ini.
“Harga minyak turun itu memang kita sangat sokong walaupun sepatutnya perkara ini sudah lama dilakukan. Tambahan cuti pada 15 September itu juga beri ruang untuk kita keluar bersiar, bantu rancakkan ekonomi domestik, itu saya sokong termasuklah bab tarif elektrik.
“Namun, jumlah bantuan RM100 itu saya rasa kurang cukup, malah bukan diberi secara tunai, mahu beli barang pun di kedai terpilih, ia bersyarat bukan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memang atas kawalan kita,” ujarnya.

Khushari Rahmat
Bagi Khushari Rahmat yang merupakan pemandu lori, penurunan harga minyak dianggap sebagai langkah populis dengan menyifatkan ia sekadar menunaikan janji yang tertunggak sebelum ini.“Bagi saya ini seakan janji-janji lama yang belum ditepati dan baru ditunaikan sekarang, sekadar ambil hati rakyat tapi kita tetap hargai,” katanya.

Norazam Ishak
Sementara itu, pemilik restoran, Norazam Ishak melihat usaha kerajaan sebagai satu langkah bertanggungjawab untuk memelihara kebajikan rakyat walaupun negara dihimpit tekanan ekonomi yang mencabar.
“Datuk Seri Anwar tadbir tidak sampai lagi satu penggal, saya bukan memihak mana-mana parti tetapi sekarang memang sukar untuk buat apa-apa, banyak isu perlu ditempuh dan sebagainya.
“Sebagai rakyat kita nampak memang ada beliau membantu, Jika kita mahu bantuan terlalu besar, sukarlah. Kita kena fikir berapa juta rakyat kita ada, pada akhirnya semua mahukan kesenangan,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami