KUALA LUMPUR: Setiap rakyat Malaysia perlu bersama-sama berusaha mengekalkan bumi Malaysia dengan kehijauan kawasan hutan yang kaya dengan kepelbagaian biologi demi kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang.

Dalam satu perutusan sempena Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2024 hari ini (21 Mac), Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, menekankan kepentingan hutan bukan sahaja sebagai aset semula jadi negara.

Bahkan hutan juga menyediakan habitat, makanan, perlindungan serta sumber bekalan air dan udara bersih untuk manusia, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan.

“Hutan perlu dipelihara dan dipulihara bagi meningkatkan ketahanan ekosistem yang semakin terancam serta membantu dalam mengurangkan kesan perubahan iklim. 

“Hari Hutan Antarabangsa disambut untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan, pemeliharaan dan pemuliharaannya demi kesejahteraan masyarakat dan kestabilan alam sekitar,” katanya.

Bersempena tema sambutan pada tahun ini adalah Hutan dan Inovasi (Forests and Innovation) ia memberi penekanan terhadap kepentingan inovasi dalam sektor perhutanan sebagai penyelesaian baharu untuk kelestarian alam dan dunia yang lebih baik. 

Tambahnya lagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah memimpin pelbagai usaha inovatif untuk menjaga hutan negara.

Melalui agensi seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak, dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), pelbagai teknologi telah digunakan supaya sektor perhutanan di negara sentiasa relevan mengikut peredaran masa.

“Bagi tujuan pemantauan kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia, Inovasi dan penggunaan teknologi seperti satelit, dron dan Sistem Maklumat Geografi (Geographic Information System-GIS).

“Sistem seperti e-Geospatial Perhutanan (e-GP), Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS Plus) dan Forest Fire Big Data Analytics (BDA) juga digunakan,” tambahnya lagi.

Manakala, Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah membangunkan sistem iForSabah bagi aktiviti pemantauan hutan di Wilayah Sabah. 

Jabatan Hutan Sarawak pula telah membangunkan sistem Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang menggabungkan analisa imej satelit dan mengesahkan titik koordinat dengan menggunakan pesawat.

“Penggunaan teknologi terkini dan kesedaran terhadap kepentingan inovasi dalam mencari penyelesaian baharu demi memelihara dan memulihara khazanah hutan negara hendaklah terus diperkukuh dalam mengekalkan kelestarian alam.

“Kerajaan akan terus komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992,” tambahnya lagi.

Hari Hutan Antarabangsa (International Day of Forests) diisyhtiharkan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (The United Nations General Assembly–UNGA) pada 21 Mac setiap tahun.