Rakyat Malaysia di Singapura dibenarkan pulang ke negara ini meskipun Pemutus Litar (Circuit Breaker) dikuatkuasakan di negara repubik itu sehingga 1 Jun ini.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, rakyat Malaysia yang berada di negara jiran itu, bagaimanapun, perlu membuat permohonan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura menerusi e-mel.

"Di bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan keluarkan entri permit untuk masuk ke Malaysia bagi rakyat Malaysia berhasrat pulang tapi mereka (rakyat Malaysia) perlu buat permohonan (dengan menghantar e-mel) ke [email protected].

"(Permohonan perlu dibuat) sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh kepulangan mereka. Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia telah terima 900 permohonan setakat ini dari rakyat Malaysia di republik itu," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Tambah Ismail, Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Johor dan Jabatan Imigresen Malaysia telah membuat keputusan untuk menerima sekurang-kurangnya 400 rakyat Malaysia sehari.

Bagaimanapun, setiap rakyat Malaysia yang pulang perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin selama 14 hari.