MALAYSIA
Rakyat Malaysia dijangka dibawa keluar dari Iran Jumaat ini - Fahmi

Fahmi tidak memberikan butiran terperinci strategi yang akan dilaksanakan kerana ia membabitkan aspek keselamatan. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dibawa keluar Jumaat ini, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia sedang mengatur usaha membawa keluar rakyat Malaysia dari Iran pada 20 Jun 2025, susulan situasi keselamatan yang semakin tidak menentu di negara tersebut.
- Menteri Luar memaklumkan jumlah rakyat Malaysia di Iran adalah kecil dan terdiri daripada kakitangan kedutaan, pelajar dan pelancong, dengan semua persiapan termasuk visa telah dimuktamadkan.
- Kementerian Luar menasihatkan semua rakyat Malaysia agar segera meninggalkan Iran melalui kaedah selamat, dan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran terus memantau keadaan serta menyediakan talian kecemasan untuk bantuan.
Tambah beliau jumlah warga Malaysia yang berdaftar di Iran tidak terlalu ramai dan kerajaan sedang menggerakkan usaha untuk membawa mereka keluar.
“Menteri Luar telah memberikan sedikit perkembangan kepada Jemaah Menteri tentang situasi dan keadaan di mana beliau telah memaklumkan bahawa jumlah rakyat Malaysia sama ada yang berkhidmat (kakitangan kedutaan) malawakil, pelajar dan pelancong yang berdaftar dan berada di Iran tidak terlalu besar tapi mereka telah digerakkan untuk bergerak keluar,” katanya.
Namun Fahmi enggan memberikan butiran terperinci strategi yang akan dilaksanakan kerana ia membabitkan aspek keselamatan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Selasa telah menasihati rakyat Malaysia yang masih berada Iran agar keluar dengan serta-merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.
“Semua rakyat Malaysia yang berada di Iran adalah dinasihatkan agar meninggalkan negara tersebut dengan serta-merta melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.
“Situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan Kementerian ini,” katanya.
Tambahnya, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, turut memantau rapi perkembangan keselamatan di Republik Islam itu.
Sekiranya berlaku kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602 atau menghantar e-mel kepada [email protected] / [email protected].
Alamat Kedutaan Besar Malaysia Tehran ialah No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St, Shahrak-e-Gharb.
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami