Skip to main content

Dunia

Serangan udara Israel di selatan Lubnan ragut tujuh nyawa

Debris at a site hit by Israeli strikes that occurred in the early hours of Thursday, according to Lebanon’s state news agency NNA, in Burj al-Shamali, southern Lebanon, August 6, 2026. REUTERS/Stringer
Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban dan tiga lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di selatan Lubnan pada awal pagi Sabtu. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban dan tiga lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di selatan Lubnan pada awal pagi Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).

Serangan itu mengenai sebuah rumah di pinggir bandar Ansar, daerah Nabatieh, sehingga memusnahkan bangunan berkenaan, menurut agensi itu.

Pasukan kecemasan dan penyelamat sedang berusaha mengalihkan runtuhan serta mengeluarkan mayat dan mangsa yang cedera dari lokasi kejadian sebelum membawa mereka ke hospital di Nabatieh.

Insiden itu merupakan serangan udara pertama Israel yang menjangkau sejauh itu ke dalam wilayah Lubnan sejak gencatan senjata berkuat kuasa dua bulan lepas, menurut NNA.

Secara berasingan, pesawat perang Israel melancarkan beberapa siri serangan udara yang menyasarkan Bukit Ali al-Taher di pinggir Nabatieh al-Fawqa, lapor agensi itu.

Meskipun perjanjian rangka kerja antara Beirut dan Tel Aviv ditandatangani pada 26 Jun lepas di bawah tajaan Amerika Syarikat (AS), Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan yang bermula pada 2 Mac dan setakat ini mengorbankan 4,335 orang serta mencederakan 12,277 yang lain.

Perjanjian itu memperuntukkan pengunduran Israel secara berperingkat dari semua wilayah Lubnan yang diduduki sebagai pertukaran dengan pengerahan tentera Lubnan ke kawasan berkenaan, selain pelucutan senjata kumpulan bersenjata, dengan merujuk kepada Hizbullah.

Israel menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, sebahagiannya sejak beberapa dekad lalu dan yang lain sejak perang terdahulu antara 2023 hingga 2024, manakala dalam serangan semasa, tentera rejim mara lebih 10 kilometer ke dalam wilayah Lubnan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement